NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Potong barisan suntik vaksin, exco lapor polis



Kota Bharu: Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin akan membuat laporan polis esok berhubung dakwaan 200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan yang cuba 'memotong barisan' sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu adalah satu berita yang tidak benar dan palsu sehingga mencemarkan imej serta pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.

"Saya akan minta pihak polis membuat siasatan sepenuhnya. Perkara ini sangat serius dan tidak baik bagi sesebuah pentadbiran negeri. Imej kerajaan negeri rosak dan tercalar gara-gara berita palsu yang dikeluarkan kakitangan kesihatan itu sendiri," katanya di sini, hari ini.

Ahad lalu, tular di laman media sosial, antaranya Twitter, yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi 'laluan' kepada 200 ahli SUK Kelantan.

Mengulas lanjut, Dr Izani turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan terhadap kakitangannya yang terbabit menyebarkan dakwaan itu.

"Bagi saya, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mesti membuat siasatan lanjut seperti mengikut Akta Tindakan Tatatertib Bab Enam (Pindaan) 1996 yang jelas menunjukkan bahawa mereka ini melakukan kesalahan.

"Malah selepas ketua atau pengarah jabatan buat kenyataan menafikan perkara itu, mereka masih lagi mempertikai keputusan ketua mereka dan ini adalah satu tindakan yang sangat tidak beretika.

"Jadi KKM seharusnya memperkuat sistem pentadbiran awam mereka dan seterusnya melihat dan mengambil tindakan kepada 'anak-anak' yang seolah-olah tidak reti (faham) peraturan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Izani sekali lagi menegaskan pihak kerajaan negeri mahupun kakitangan SUK tidak pernah campur tangan dalam proses senarai penerima suntikan vaksin Covid-19 bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri berkenaan.

"Tidak ada langsung tekanan mahupun desakan daripada pihak kerajaan negeri kepada JKNK untuk berbuat perkara sedemikian…apabila timbul perkara ini juga, saya rujuk kepada Pengarah serta Timbalan Pengarah JKNK sama ada pihak mereka terima tekanan daripada SUK dan mereka mengesahkan tiada," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/679808/potong-barisan-suntik-vaksin-exco-lapor-polis


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo