PN Pulau Pinang puji komitmen PAS




PERMATANG PAUH: Komitmen dan prestasi PAS sebagai anggota parti komponen Perikatan Nasional (PN) khususnya di Pulau Pinang ketika ini disifatkan baik meskipun parti itu turut menjalin kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Shabudin Yahaya berkata, setakat ini, PAS berjaya memberikan kerjasama yang baik dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dalam PN di peringkat negeri.

“Saya rasa itu sudah cukup memberi keyakinan kepada PN untuk terus bekerjasama dengan PAS dalam usaha mengukuhkan jentera menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Itu (untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam MN) adalah pendirian PAS dan tidak ada apa-apa faktor termasuk dari segi perundangan yang boleh menghalang hubungan dan kerjasama itu daripada diteruskan buat masa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shabudin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri berkata, tumpuan dan fokus utama PN Pulau Pinang buat masa ini ialah untuk terus mengukuhkan jentera parti.

Katanya, ketika ini satu jawatankuasa berkaitan telah pun dibentuk dengan kehadiran tiga parti komponen utama dalam PN negeri iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Jadi, untuk beberapa minggu akan datang ini, kita akan adakan satu lagi mesyuarat bagi membolehkan beberapa strategi untuk menghadapi PRU-15.

“Persediaan jentera, kursus serta latihan berkaitan juga telah kita adakan secara berperingkat dan ini akan diteruskan dengan menggabungkan pengalaman ketiga-tiga parti dalam menguruskan jentera pilihan raya masing-masing,” katanya.

Jelas Shabudin, semua persiapan ini adalah sebahagian persediaan awal bagi menghadapi PRU-15 termasuk kemungkinan berlakunya pertandingan satu lawan satu, tiga penjuru dan sebagainya.

“Persiapan seperti ini penting kerana apabila sampai masanya untuk pilihan raya, kita telah pun bersedia sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, segala bentuk persiapan juga bergantung kepada arahan pucuk pimpinan parti serta keadaan politik semasa ketika ini. – UTUSAN ONLINE
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post