Responsive Ad Slot

PM9: Syed Sadiq calon Nurul Izzah



SHAH ALAM - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dinamakan sebagai pemimpin yang layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-9.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kejutan menamakan bekas Naib Presiden PKR itu sebagai calon Perdana Menteri yang berada di dalam fikirannya ketika bersiaran di iG Live Sinar pada Khamis.

Pengacara program, Nazihah Khan ketika itu memberikan masa enam saat kepada Syed Saddiq memberikan tiga pemimpin yang dirasakan layak menggalas tugas pemimpin nombor satu negara itu.

"Boleh, YB Nurul Izzah. Datuk Seri (Mohd) Shafie Apdal dan Dr Dzulkefly (Ahmad)," katanya menerusi program berjudul Kompaun: Didik atau Hukum Rakyat?


Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik (Muda)itu kemudian ditanya mengapa memilih untuk menamakan seorang wanita untuk dicalonkan ke jawatan utama itu.

"Saya rasa kita tidak ada masalah untuk mempunyai pemimpin dalam kalangan wanita.

“Kita dapat lihat sebelum di bawah kerajaan Barisan Nasional, mereka mengangkat ‘iron lady’ iaitu Tan Sri Rafidah Aziz yang dikenali sebagai menteri yang sangat baik dan disegani,”

Mengulas lanjut, bekas Menteri Belia dan Sukan ini berkata, pengalamannya sendiri bekerja dengan wanita membuktikan golongan ini mampu menjadi pemimpin yang baik.

"Kita sebelum ini ada Datuk Seri (Dr) Wan Azizah dan saya sendiri diberi peluang untuk berkhidmat di bawahnya. Saya lihat betapa baiknya Datuk Seri Wan Azizah ini dari segi corak kepimpinannya dan saya rasa kita tidak ada masalah ada pemimpin wanita muda seperti YB Nurul Izzah untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri," katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, nama yang dipilih olehnya bukanlah daripada kumpulan yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

“Mereka sudah berkecimpung dalam politik selama 40 tahun, 50 tahun barulah boleh diberikan peranan.

“Lihat di negara lain, mereka telah meremajakan pimpinan politik mereka. Kenapa di Malaysia berlainan pula?," soalnya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/129346/BERITA/Politik/Syed-Saddiq-pilih-Nurul-Izzah-calon-PM-ke-9



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo