NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertandingan Tiga Penjuru PRU-5 Rugikan Politik Melayu-Islam, Kestabilan Negara




Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ahli akademik dan profesional iaitu Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Ikatan Ilmuwan Nasional (ILMUWAN) dan NGO berteraskan penyelidikan QGenAnalysts (QGA) telah bekerjasama menganalisa senario pertembungan 2 penjuru (PN+BN vs PH) dan 3 penjuru (PN vs BN vs PH) berserta keputusan kajian lapangan yang dibuat sepanjang Jun – Disember 2020.

Kawasan kajian mengambil kira negeri utara, pantai barat, pantai timur dan selatan. Ia juga dilakukan di DUN dan Parlimen yang mempunyai komposisi kaum menyamai peratus nasional iaitu 60-70 peratus Melayu, 20-30 peratus Cina dan 5-10 peratus India.

Persampelan secara kluster pelbagai peringkat dibuat dengan menggunakan kaedah kajian tinjauan di lapangan secara rawak serta bilangan responden yang digariskan untuk mencapai ketepatan keputusan 95 peratus.

Ia juga kaedah terbaik dengan kebolehpercayaan tertinggi berbanding kaedah lain seperti panggilan telefon atau pun kajian maya.

Analisa senario pertembungan 2 atau 3 penjuru ini dibuat setelah mengambil kira situasi politik semasa apabila berlaku pergeseran di antara parti teras Melayu-Islam di pihak kerajaan iaitu UMNO dan BERSATU.

Dengan menjadikan keputusan PRU-14 di semua Parlimen dan penerimaan semasa pengundi melalui kajian lapangan, hasil analisa menunjukkan beberapa perkara berikut:

Senario 1: PN+BN vs PH

PN+BN berpotensi untuk memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen. Senario situasi terbaik (best case scenario) menunjukkan PN+BN akan berjaya memenangi sehingga 162 kerusi Parlimen berbanding PH yang hanya mampu bertahan di 60 kerusi.

Dalam masa yang sama, PN+BN akan berjaya mengembalikan majoriti Islam dan Melayu di Parlimen yang hilang pasca-PRU-14.

Sekitar 130 kerusi akan diwakili oleh wakil rakyat Islam-Melayu. Gabungan PN+BN juga akan berjaya menambah kawasan Parlimen bandar sehingga 20 kerusi.

Sebanyak 60 kerusi PH pula didominasi 39 kerusi DAP, 13 PKR dan selebihnya parti-parti gabungan PH yang lebih kecil.

Analisa ini bertepatan dengan majoriti maklum balas rakyat yang dikumpul dalam kajian lapangan. Mereka bersedia memilih sebuah gabungan politik yang kuat, stabil dan inklusif (PN+BN) berbanding satu gabungan yang dilihat eksklusif (UMNO+Pas) atau pun yang didominasi oleh kaum bukan majoriti (PH).

Populariti PN+BN sebagai gabungan yang berteraskan kaum majoriti iaitu Melayu dan disertai oleh bumiputera Sarawak, Sabah dan parti-parti kaum Cina dan India dilihat oleh rakyat mampu mengekalkan keharmonian dan lebih stabil serta baik untuk pertumbuhan ekonomi.

Faktor penarik kepada PN+BN ini juga berkait dengan persepsi rakyat kepada keunikan parti teras gabungan tersebut iaitu mengutamakan kebajikan rakyat (BERSATU), berintegriti tinggi (Pas) dan berpengalaman dalam pentadbiran (UMNO).

Walau bagaimanapun, perkembangan politik mutakhir ini memperlihatkan timbul kemungkinan untuk berlaku pertembungan lebih daripada dua penjuru. Pergeseran antara UMNO dan BERSATU secara khususnya dibimbangi boleh membawa kepada perkara tersebut.

Senario 2: PN vs BN vs PH

Jika pertandingan 3 penjuru, hasil analisa mendapati situasi Parlimen tergantung bakal berlaku. PN yang telah didaftarkan oleh dua parti teras Melayu Islam (BERSATU + Pas) dijangka memperolehi 72 kerusi, BN 51 kerusi dan PH 99 kerusi. Pertembungan tiga penjuru ini menatijahkan tiada mana-mana gabungan yang akan membentuk majoriti mudah 112 kerusi.

Walaupun ada kemungkinan PN dan BN bersetuju untuk bergabung selepas PRU, namun jumlah kerusi akan turut berkurangan dengan drastik berbanding dua penjuru. Kedudukan kerusi yang sama dengan situasi sekarang bakal terbentuk.

Malah analisa di atas berisiko berkeputusan lebih rendah untuk PN dan BN kerana ia bertentangan dengan kehendak rakyat di dalam kajian lapangan yang lebih meyakini satu gabungan yang stabil dan kukuh sebelum membuat pengundian dan bukannya selepas PRU-15.

Di samping itu juga, kerusi Islam-Melayu juga tidak akan mencapai majoriti. Paling tinggi mungkin sekitar 104 kerusi sahaja. Ia juga mengembalikan keputusan mirip PRU-14 di mana PH menjadi gabungan terbesar bertunjangkan DAP yang akan memiliki sekurang-kurangnya 41 kerusi. Tarik-menarik ahli Parlimen akan berlaku dan akan merosakkan keyakinan rakyat serta pelabur dalam waktu kritikal untuk bersatu hati memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara pascawabak Covid-19.

Antara kesimpulan lain hasil daripada kajian lapangan termasuklah persepsi pengundi di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah mendapati:

Ciri-ciri berintegriti tinggi, tiada salah guna kuasa dan tidak rasuah menjadi pilihan utama pengundi Melayu diikuti oleh inisiatif pemulihan ekonomi. Pengundi Cina dan India pula meletakkan pemulihan ekonomi sebagai keutamaan dan diikuti oleh integriti tinggi, tiada rasuah dan salah guna kuasa.

PN+BN dilihat lebih diyakini sebagai gabungan yang berintegriti kerana ia gabungan baharu yang tiada bebanan imej lepas. Dalam kajian lapangan, rakyat menyatakan kelebihan BN adalah pengalaman dalam berkerajaan, namun masih dianggap mempunyai isu integriti, rasuah serta salah guna kuasa. Persepsi ini turut dikaitkan dengan prestasi BN di Sabah yang bertanding lebih banyak kerusi berbanding PN, tetapi memperolehi kemenangan yang sangat kurang berbanding PN walaupun bersama-sama di dalam satu Gabungan Rakyat Sabah. Daripada 41 kerusi yang ditandingi, BN hanya memenangi 14 kerusi berbanding PN (17 kemenangan daripada 29 kerusi).

Perkembangan pengundi atas pagar, condong non-partisan dan lebih terbuka semakin tinggi peratusnya. Kelompok pengundi ini yang terdiri daripada orang muda berumur bawah 35 tahun, berpendidikan tinggi atau bekerjaya profesional akan berperanan penting di dalam PRU-15 terutamanya mereka yang mendaftar sebagai pengundi kali pertama.

Kelompok ini meletakkan peratus yang amat tinggi kepada integriti sebagai faktor calon dan boleh menjadi penentu gabungan mana yang akan diundi sama ada PN, BN atau PH jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

Merujuk kepada analisa dan kajian lapangan yang dijalankan, amat jelas ia menunjukkan kepentingan parti teras Islam Melayu iaitu UMNO, BERSATU dan Pas untuk duduk semeja dan bersetuju untuk hanya bertanding 2 penjuru di dalam PRU-15 demi keharmonian dan kestabilan negara.

Ia sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat pelbagai kaum serta pelabur untuk kembali giat dan fokus di dalam pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

Sebaliknya, pertembungan 3 penjuru akan mengheret negara ke dalam kancah ketidakstabilan yang memudaratkan segenap lapisan rakyat dan membantutkan usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk.

BERSATU dan Pas harus menghormati UMNO sebagai parti terbesar kaum majoriti Melayu di dalam pembahagian kerusi. Namun, UMNO pula perlu berlapang dada dan berjiwa besar dengan tidak menekan serta menuntut peruntukan kerusi yang tidak munasabah.

Ini kerana pilihan rakyat yang meletakkan ciri integriti sebagai keutamaan undi dan beban imej negatif yang masih dilihat ada pada kepimpinan UMNO boleh menjadi risiko kepada gabungan PN+BN jika tidak diuruskan dengan baik.

Malah risiko itu dijangka lebih buruk untuk UMNO/BN jika mereka bertindak bersendirian yang membawa kepada pertembungan 3 penjuru.

Analisis ini selari dengan kenyataan penganalisis politik mendiang Dr. Hoo Ke Ping, baru-baru ini. Beliau menjangkakan PRU-15 ini menyaksikan jika UMNO, Pas dan BERSATU bergabung, mereka akan kekal memerintah dan mendominasi menerusi pentadbiran yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan dalam kepelbagaian.

PROF. DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo