NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perpaduan Ummah : PAS Tidak Akan Berputus Asa - Nadi Selangor By Roslan SMS



Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Bin Dato Mohd Shahir

Apabila tersebar luas surat Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan PBBM atau BERSATU pada PRU 15 nanti atas alasan desakan ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi, ramai yang melihat usaha menyatukan kuasa politik umat Melayu sudah gagal dan sampai ke penghujung jalan.

Selama ini khasnya melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil sebelum pembentukkan kerajaan Perikatan Nasional, inisiatif gagasan penyatuan ummah yang mahu menyatukan kuasa politik Melayu di tanahair begitu rancak disemerakkan sehinggalah kejayaan pembentukkan Muafakat Nasional yang menyaksikan PAS dan UMNO bermuafakat dan sanggup berkerjasama demi membina kembali kuasa politik Melayu di tanahair yang tergugat ditangan PH dahulu.

Apabila kerajaan PN terbentuk, ramai mengharapkan inisiatif murni ini akan diteruskan tetapi dengan lebih rancak lagi sehingga akhirnya termetrai penyatuan PAS, UMNO dan BERSATU iaitu 3 parti politik tunggak mewakili umat Melayu Islam dalam kerajaan.

Malangnya perkembangan terbaru ini mengakibatkan ramai yang kecewa, rakyat khususnya umat Melayu Islam mengharapkan wakil-wakil politiknya lebih matang dan dewasa dalan menyusun percaturan dengan meletakkan agenda penyatuan ummah ini sebagai agenda utama, namun demikian perbalahan dan perbezaan sesama sendiri rupanya tidak mampu dikendur dan dipadamkan sehingga berlakulah apa yang telah berlaku.

Perkembangan terbaru ini dilihat semakin merumitkan kedudukan PAS sendiri, sebuah Gerakan Islam yang sentiasa memastikan ia tidak tergelincir dari landasan tuntutan Islam dalam bergerak dan melaksanakan tanggungjawabnya.

PAS bermuafakat dengan UMNO dan kemudiannya menjalin hubungan dengan BERSATU bukannya kerana kepentingan jawatan atau kedudukan sebagaimana dibaca oleh mereka yang tidak memahami perjuangan PAS yang sebenar, akan tetapi ia dilakukan dengan penuh keinsafan kerana PAS benar-benar mahu merealisasikan gagasan perpaduan ummah yang selama ini diimpikan semua.

Bagi PAS tuntutan pembentukkan gerakan penyatuan ummah ini bukan semata-mata desakkan politik tetapi sesungguhnya ia suatu tuntutan dalam agama. Dan kita umat Islam tidak kira PAS mahupun UMNO atau Bersatu sepatutnya terlalu faham dan sedia tunduk pada tuntutan ini. Perkembangan politik pasca PRU14 melihatkan seakan lorongan menyatukan politik umat Melayu Islam itu suatu lorongan yang ditawarkan dari Allah swt.

Benralah firman Allah swt yang bermaksud:

"Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang mukmin, dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walau­pun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Mahaperkasa lagi Mahabijaksana." (Al Anfal ayat 62)

PAS sedar perbezaan dan perbalahan antara UMNO dan BERSATU cukup sengit dan tegang, akan tetapi melihat kepada besarnya tuntutan agama ini maka PAS memilih untuk menjadi "orang tengah", menjadi jambatan atau pendamai yang boleh mencantumkan antara kedua parti yang bersengketa ini demi kemaslahatan ummah.

Kerana itu apabila meletus perkembangan terbaru ini Timbalan Presiden PAS Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa PAS sekali-kali tidak akan berputus asa membina permuafakatan penyatuan ummah antara ketiga parti ini.

Pihak musuh khasnya PH sudah pasti melonjak gembira melihatkan perkembangan ini, UMNO dan BERSATU berbalah sehingga tiada titik pertemuan, namun kesungguhan PAS pastinya membantutukan kegembiraan mereka yang sentiasa menangguk di air keruh itu.

Kenyataan Timbalan Presiden PAS itu kemudiannya diperkukuhkan lagi dengan kenyataan media PAS Pusat yang mengulangi penegasan bahawa PAS komited dalam agenda perpaduan ummah. Meski dengan perkembangan terbaru ini PAS terus menyatakan ia akan kekal mendukung usaha "Memperkasakan Muafakat Nasional dan Mempertahankan Perikatan Nasional"

Desakkan agar PAS membuat pilihan antara samada mahu bersama UMNO atau Bersatu tidak berbangkit kerana bagi PAS komitmennya adalah ke arah agenda perpaduan ummah yang tidak akan mampu tercapai selagi UMNO dan BERSATU bertelagah sesama sendiri. Jadi apa sekalipun PAS tidak akan berputus asa dan terus berusaha ke arah mencapai matlamat ini.

Apa yang PAS mahu sebenarnya?

PAS mahu melihat gabungan penyatuan ummah ini menghadapi PH dalam PRU ke 15 nanti satu lawan satu sehingga habis semua lebih 133 kerusi majoriti Melayu di Semenanjung (tidak termasuk Sabah dan Sarawak) dikuasai dan ditawan gabungan ini. Kemudian apabila dicampurkan dengan beberapa kerusi campuran selain kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak insyallah gabungan ini akan melepasi bilangan 148 kerusi iaitu lebih dua pertiga penguasaan sekaligus mematikan apa sahaja harapan buat PH.

Realitinya pencapaian ini pasca PRU14 sukar dicapai secara bersendirian atau antara dua dari tiga parti semata-mata. Ia hanya akan tercapai apabila kita berpakat menerima realiti politik semasa dan bercantum menyatukan kekuatan kita atas tuntutan Agama sebagaimana dinyatakan diawal tadi, tidak lagi bersaing atau bertanding sesama sendiri.

Masing-masing kita punya kekuatan tetapi ia tidak bermakna jika masing-masing berkeras mengambil jalan sendiri sehingga akhirnya yang kembali berkuasa adalah golongan minoriti yang telah mengancam kedudukan kita sebelum ini. PAS tidak sanggup melihat DAP kembali berkuku.

Lalu apakah usahanya? Masing-masing perlu dibawa ke meja rundingan, bermuafakat dan berdamai. Jika ini yang perlu PAS kerja dan lakukan, maka yakinlah ia akan PAS pikul demi menjamin masa depan yang barakah buat semua.

Di dalam kerajaan PN hari ini pun ketiga-tiga parti boleh menyumbang tenaga dan berkerja dengan penuh disiplin dan komitmen demi membuktikan kemampuan ummah membela rakyat dan mentadbir negara, alangkah baiknya permuafakatan itu dibawa ke meja perundingan politik sehingga tertebus maruah umat Melayu di bumi bertuah ini.

Sekarang giliran pimpinan PAS untuk membuktikan kemampuan mereka. Bangkit dan nyatakan bahawa umat Melayu Islam sudah bosan dengan kehidupan terancam dan diancam, mereka mahukan pimpinan mereka bersatu. UMNO dan BERSATU jangan tidak mendengar jeritan hati rakyat ini. Buktikan yang penyatuan anugerah Allah swt ini adalah yang terbaik dan bakal menyelamatkan semua dunia dan akhirat.

Tuan Hj Roslan Shahir Bin Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo