Responsive Ad Slot

Perak: 300 bekas ahli PKR sertai Gerakan


24 MAC : Disebabkan kecewa dan hilang kepercayaan dengan parti, seramai 300 individu yang merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), hari ini.

Seorang bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat, Alfaizal Shahul Hamid, 44, yang mewakili kumpulan tersebut berkata, kesemua bekas ahli PKR bertindak keluar parti sejak setahun lalu kerana parti itu dilihat hanya memperjuangkan kepentingan diri sendiri berbanding rakyat.

“Pada pandangan saya, Gerakan lebih menumpukan usaha terhadap ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Disebabkan itu saya bersama bekas ahli-ahli PKR yang lain mengambil keputusan menyertai Gerakan,” katanya menerusi sidang media di Pejabat Gerakan Perak, hari ini.

Pada sidang media itu, sebanyak 50 borang keahlian Gerakan setakat ini telah diserahkan kepada Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng oleh Alfaizal yang turut mewakili individu lain.

Dalam pada itu, Alfaizal memberitahu penyerahan kesemua borang keahlian akan dibuat secara berperingkat kepada Gerakan Bahagian Ipoh Barat.

“Penyertaan kami ke dalam Gerakan tidak ada sebarang paksaan tetapi keputusan itu dibuat secara sukarela,” katanya.

Sementara itu, Tean Seng mengalu-alukan kemasukan keahlian baharu ini yang bukan sahaja bekas ahli parti politik tetapi semua individu yang mahu berjuang bersama parti itu.

“Kita alu-alukan bukan sahaja yang pernah sertai parti politik lain tetapi orang muda yang tak pernah jadi ahli mana-mana parti politik.

“Sesiapa yang percaya perjuangan kami, kita terima penyertaan mereka. Ahli-ahli baharu ini akan didedahkan mengenai perjuangan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Datuk MA Tinagaran menggesa kesemua 300 individu yang mendakwa bekas ahli PKR itu mengemukakan bukti keahlian mereka.

“Semua pihak boleh mendakwa bekas ahli parti sedangkan mereka tidak mendedahkan sebarang bukti,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo