NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lakukanlah sesuatu tampung keperluan solat Jumaat




KHAMIS ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berakhir. Tidak pasti sama ada akan disambung atau sebaliknya.

Sebarang keputusan, rakyat akan terus patuh kerana apa juga nama PKP, PKPB, PKP Pemulihan (PKPP) atau PKP Diperketat (PKPD), tujuannya bagi membendung Covid-19.

Sama ada Jumaat ini boleh rentas negeri atau tidak terpulanglah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mempertimbangkannya kerana kita cuba mengelak kluster rentas negeri seperti yang berlaku sebelum ini.

Cuma persoalan yang sedang bermain di fikiran sekarang khususnya di Selangor adakah pada Jumaat akan datang 19 Mac masjid dapat menerima kehadiran jemaah seperti biasa mengikut norma baharu?

Maksud seperti biasa ini adalah ruang solat dibuka mengikut kapasiti atau keluasan dengan syarat pematuhan SOP khususnya penjarakan fizikal.


Ketika ini, masjid pengurusan membenarkan 350 jemaah solat Jumaat dan 100 solat fardu. Masjid institusi 350 jemaah solat Jumaat manakala 200 solat fardu. Masjid kariah 300 jemaah Jumaat dan 100 solat fardu.

Surau kebenaran Jumaat dihadkan 100 jemaah dan 50 jemaah solat fardu.
Surau kariah pula tidak dibenarkan solat Jumaat cuma membenarkan 50 jemaah solat fardu.

Syarat itu ternyata tidak mampu menampung jemaah yang ramai pada hari Jumaat. Di sesetengah surau dan masjid, solat fardu mendapat sambutan yang amat baik, tidak timbul isu kekurangan jemaah. ‘Pejam mata’ jika terlebih seorang dua.

Sedih melihat ada jemaah yang terpaksa solat Jumaat di luar pintu pagar utama masjid, di tepi jalan atau di ruang kedai disebabkan jumlah jemaah sudah memenuhi kuota. Padahal masjid masih luas.

Setiap Jumaat, siapa cepat dia dapat ruang dalam masjid. Kalau lewat pandai-pandailah ‘meronda’ kawasan berhampiran atau ke Kuala Lumpur dan Putrajaya mencari ruang solat.

Bagi mendapatkan tempat terpaksa beratur atau datang awal sebelum pukul 12 tengah hari. Ini menimbulkan masalah bagi yang bekerja kerana perlu tinggalkan kerja dua jam sebelum masuk waktu solat Jumaat.

Malahan ada masjid yang sebelum pukul 12.30 tengah hari sudah penuh kuota.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Berilah sedikit kelonggaran supaya lebih ramai berpeluang solat Jumaat.

Melihat suasana di surau dan masjid ketika solat fardu, ternyata jumlah 300 atau 350 tidak mencukupi. Masjid dan surau mempunyai jemaah yang mencukupi setiap kali solat fardu.

Mereka yang tidak tinggal solat fardu berjemaah akan berebut-rebut untuk solat Jumaat. Mereka faham ‘pelepasan’ untuk tidak solat Jumaat dalam kekangan yang ada.

Tetapi bagi mereka, amat rugi jika tidak dapat solat Jumaat setelah saban hari berjemaah setiap waktu di masjid dan surau. Justeru mereka akan tercari-cari ruang untuk solat Jumaat di mana sahaja.

JAIS, lakukanlah sesuatu. Masyarakat akur peraturan tetapi carilah alternatif Mungkin sekurang-kurangnya berilah kebenaran kepada lebih banyak surau kariah mengendalikan solat Jumaat bagi menampung had yang dibenarkan.

Semoga ada jalan keluar dan Jumaat ini di Selangor lebih baik berbanding Jumaat sebelumnya.

-BebasNews https://bebasnews.my/?p=56414

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo