NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemelut Hubungan PAS-UMNO Di Terengganu: Cerita Sebenar Dari Menteri Besar

Terkejut dengan sikap amat keras UMNO Terengganu terhadap Kerajaan PAS Terengganu, saya telah mengambil inisiatif menghubungi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi mengetahui cerita sebenar apa yang berlaku di sana.

Ini kerana saya sendiri sebelum ini telah beberapa kali menyuarakan pandangan, baik secara terbuka dalam media mahupun secara peribadi supaya Kerajaan PAS Terengganu, dan Kerajaan PAS Kelantan, lebih mengakomodasi pemimpin dan ahli UMNO.

Begitupun, agak mengejutkan apabila saya dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri, selain oleh beberapa pemimpin PAS Terengganu yang lain, bahawa beliau sebenarnya telah membuat beberapa usaha untuk mengakomodasi pemimpin dan ahli UMNO.

Malangnya, saya dimaklumkan bahawa pemimpin UMNO Terengganu, khususnya Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said, yang berkeras mengelakkan diri dari bekerjasama dengan Kerajaan PAS Terengganu atau dari berunding dengan PAS Terengganu.

Mengikut Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri, beliau telah berjumpa secara empat mata dengan Datuk Seri Ahmad Said pada waktu rehat sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2020 lalu bagi membincangkan permasalahan antara kedua-dua parti.

Dalam pertemuan itu, UMNO Terengganu diajak oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri untuk bersama dalam kerajaan bermula dari peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) hingga ke peringkat GLC, Timbalan EXCO dan lain-lain.

Datuk Seri Ahmad Said difahamkan hanya diam, tetapi kemudiannya menjawab dengan baik, “Datuk, terima kasih atas pelawaan yang Datuk berikan cuma saya tak boleh buat sebarang keputusan dan saya kena bawa perkara ini ke Badan Perhubungan dahulu”.

Jawab Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri: “Perkara yang begini besar, lepas UMNO-PAS berbalah sekian lama, kita sebagai pimpinanlah yang kena bawa agenda dan push (tekan) ahli-ahli kita untuk terima, bukannya kita serah kepada mereka untuk decide (putuskan)”.

Jawab Seri Ahmad Said, “Datuk, PAS senang bila bagi arahan orang-orang bawahan terus dengar tapi kami dalam UMNO tak begitu”. Ini dijawab oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang menyebut: “Datuk Mad cuba push (tekan) lah, kalau bukan kita siapa lagi?”

Sehari selepas itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri pun mengumumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pelawaan rasmi kepada UMNO untuk menyertai JPKK, malangnya tiga minggu kemudian UMNO Terengganu menulis surat menolaknya.

Bila Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri turun ke bawah bertemu dengan rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO, mereka minta supaya kerjasama antara PAS dan UMNO diteruskan untuk kebaikan rakyat dengan menyebut “dah tak mahu bergaduh dan tegang dalam komuniti”.

Setelah mendengar penjelasan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang selari dengan dapatan beberapa kajian saya di Terengganu yang menunjukkan kepopularan beliau di kalangan ahli-ahli UMNO dan rakyat Terengganu, barulah saya faham realiti sebenar di sana.

Oleh itu, kepada rakyat Terengganu khasnya dan kepada rakyat Malaysia amnya, terimalah hakikat bahawa pihak yang sebenarnya tidak mahu bersatu di Terengganu bukanlah PAS Terengganu tetapi adalah pemimpin (bukan pun ahli-ahli) UMNO Terengganu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo