NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kalimah Allah: Kerajaan Perlu Segera Kemukakan Rayuan – Wanita UMNO Dan Muslimat PAS

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS merayu agar kerajaan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang merupakan episod malang buat umat Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS berkata selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan demi menjaga kesucian agama Islam, sewajarnya penggunaan kalimah Allah tidak seharusnya dibenarkan penggunaan dalam kalangan bukan Islam.

"Ia bukan saja bagi memelihara kesucian agama Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini, tetapi juga untuk memastikan keharmonian hidup masyarakat yang berbilang agama dan kaum dengan menghormati hak dan kebebasan beragama yang telah diterapkan di negara ini sejak sekian lama.

"Kebenaran kepada bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah dikhuatiri menjadi satu provokasi kepada umat Islam dan menjejaskan kedamaian sedia ada," kata kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan yang sama juga, Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS menyokong penuh ketetapan yang dibuat Muafakat Nasional iaitu menggesa kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

"UMNO dan PAS secara konsisten dari awal lagi menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Sekali lagi kami menyeru dan merayu kerajaan agar segera mengemukakan rayuan bagi mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh bukan Islam," tambahnya. – UMNO ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo