Jemaah masjid, surau di KL, Putrajaya, Labuan dibenarkan ikut kapasiti penuh




KUALA LUMPUR: Bilangan jemaah bagi solat Jumaat, fardu selain aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan dibenarkan mengikut kapasiti penuh semua ruangan berkuat kuasa esok.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, kebenaran itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun jelasnya, penjarakan fizikal 1.5 meter perlu diamalkan setiap jemaah.

“Bagi aktiviti pengimarahan, masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan mengadakan aktiviti seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah dhuha dan lain-lain dengan jarak fizikal sama,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, aktiviti pengimarahan Ramadan seperti solat sunat tarawih, tadarus dan qiamullail juga dibenarkan.

“Had jemaah bagi solat sunat tarawih adalah mengikut kapasiti masjid dan surau. Ia hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah-surah atau ayat-ayat pendek,” katanya.

Bagaimanapun tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih, katanya.

Bagi tadarus al-Quran pula, jelasnya boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh daripada kapasiti dewan solat utama.

“Sementara qiamullail boleh dilaksanakan iaitu 30 minit sebelum waktu Imsak,” katanya lagi.

Jamuan berbuka puasa dan moreh bagaimanapun tidak dibenarkan, sebaliknya pihak jawatankuasa masjid digalakkan menyediakan juadah berbuka puasa secara berbungkus.

“Moreh tidak dibenarkan tetapi jawatankuasa kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas tarawih untuk dibawa pulang oleh jemaah,” katanya.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post