NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ekonomi negara makin pulih bukti tadbir urus baik PN - Dr Kamarul Zaman


KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan dan ini merupakan penanda aras tadbir urus yang baik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia dapat dilihat apabila pertumbuhan ekonomi menguncup sebanyak 1.7 peratus pada Disember lalu berbanding penguncupan sebanyak 28.7 peratus pada April 2020.

“Kadar pengganguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.8 peratus pada bulan Disember 2020.

“Malah, jumlah pelabur asing bersih negara meningkat sebanyak RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM2.2 bilion pada suku kedua 2020,” katanya dalam program Bicara Naratif menerusi TV1, malam tadi.

Ujarnya, keputusan untuk membuka sektor ekonomi secara berperingkat-peringkat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat baru-baru ini telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Kita dapat lihat meskipun negara kehilangan hasil pendapatan yang agak tinggi sekitar RM2.4 bilion sehari ketika PKP 1.0, namun sewaktu PKP 2.0 dilaksanakan jumlah ini berkurang kepada RM633 juta sehari.

“Begitu juga dengan tumpuan bagi menangani pandemik Covid-19 yang dijadikan lebih berfokus yang mana data hasil kajian mendapati bahawa 80 peratus pesakit Covid-19 hanya datang daripada satu kluster yang kecil sekitar 10 peratus.

“Maka kerajaan memberikan fokus lebih kepada kluster tersebut, selain daripada bantuan bersasar yang diberikan kepada golongan tertentu bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat penularan wabak pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, proses pemulihan ekonomi negara dijangka dipercepatkan lagi dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 24 Februari lalu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo