NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Sebatik nafi terima RM10 juta untuk keluar parti

KALABAKAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir pada Selasa menafikan dakwaan menerima imbuhan sehingga RM10 juta untuk bertindak keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau berkata, keputusan keluar parti dan menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah dibuat tanpa paksaan atau tawaran sebaliknya demi kepentingan rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.

"Dakwaan ini (mendapat imbuhan) satu dakwaan begitu liar, saya sudah jelaskan tindakan keluar parti ini tidak mengubah langsung landskap politik termasuk menjadi penentu pembentukan kerajaan, kalau terima tawaran memang tidak ada," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Hassan ditemui di Kampung Rancangan Kalabakan bagi bertemu pemimpin akar umbi serta rakyat dan berkata, pertemuan itu adalah bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung tindakannya menjadi ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan kerajaan.

"Kita sanggup terima cemuhan atau kata-kata tidak baik daripada netizen, korbankan maruah (sendiri) demi rakyat," katanya sambil menambah selepas ini, beliau akan turut turun padang ke Pulau Sebatik serta tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) lain untuk memberikan penerangan.

Mengulas tindakan Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya yang menolak surat peletakan jawatan ADUN Sebatik yang diserahkan Warisan, Hassan berkata, ia dibuat berlandaskan peruntukan perundangan sedia ada.

"Saya tandatangan surat itu sebelum menerima watikah sebagai calon, ketika itu saya tiada pilihan dan itu juga berlaku dengan calon lain yang menandatangani surat dan membaca aku janji.

"Surat ini selain tiada tarikh (ketika ditandatangan), ia hanya terdapat tandatangan saya sendiri tanpa membabitkan pihak kedua dan ini bermakna, saya boleh membatalkan surat itu sendiri tanpa perlu membabitkan pihak kedua," katanya.

Pada 25 Februari lalu, Hassan mengumumkan keluar Warisan kerana kecewa dengan kepimpinan parti itu yang dilihatnya lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding isu rakyat yang terbeban dengan penularan Covid-19. - Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo