NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor, KL, Johor Pulau Pinang kekal PKP 2.0 dua minggu lagi




PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilanjutkan untuk seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang selama dua minggu lagi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia ekoran rekod trend kes Covid-19 yang masih lagi tinggi di negeri-negeri terbabit.

“Justeru, atas penilaian risiko dan perbincangan pelbagai agensi, kerajaan setuju melanjutkan PKP 2.0 bermula pada 19 Februari hingga 4 Mac depan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Namun ujarnya, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah serta Putrajaya dan Labuan pula akan beralih kepada PKP Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Perlis tambah beliau, muncul sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang berjaya berubah status kepada PKP Pemulihan (PKPP) selepas PKP 2.0 berakhir Khamis ini.

Bagaimanapun jelas beliau, Sarawak pula seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan negeri tersebut telah pun menyambung kembali PKPB bermula semalam sehingga 1 Mac depan.

“Status ini akan dinilai semula setiap dua minggu oleh Kementerian Kesihatan sama ada kes semakin bertambah atau berkurangan dengan berdasarkan risiko semasa,” kata Ismail Sabri.

Beliau turut memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) untuk negeri-negeri yang ditukar kepada PKPB dan PKPP bagi Perlis sahaja masih kekal seperti dilakukan sebelum PKP 2.0.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu mengumumkan pelaksanaan semula PKP bermula 13 Januari sebelum kemudian disambung lagi sejak 26 Januari lepas.

PKP 2.0 itu bagaimanapun menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan secara berperingkat terutama sektor ekonomi tertentu yang terkesan amat teruk dan bukan punca kluster baharu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penduduk di negeri yang dikenakan PKPB dan PKPP seperti sebelum PKP 2.0 dibenar mengadakan aktiviti sosial tetapi dengan SOP ditetapkan.

“Ini termasuk majlis kenduri sempena perkahwinan, pertunangan, pernikahan, akikah, doa selamat, tahlil, hari kelahiran, perjumpaan semula dan ulang tahun perkahwinan,” katanya.

Kapasiti penumpang dalam kenderaan juga kata beliau boleh mengikut bilangan tempat duduk dan makan di restoran dengan mengikut keluasan meja tetapi masih jarak satu meter.

Turut dibenarkan ialah aktiviti premis spa dan urutan refleksologi selain kegiatan mesyuarat, pameran, seminar, bengkel, persidangan dan kursus bersemuka dengan pematuhan SOP.

Kerajaan ujar beliau, turut memutuskan untuk membatalkan sekatan pergerakan hanya dalam radius 10 kilometer, namun tetap tidak dibolehkan rentas sempadan negeri atau daerah.

“Kesemua SOP terperinci berkenaan akan dimaklumkan menerusi laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara malah saya juga umumkan pada Khamis ini,” jelas Ismail Sabri.

– UTUSAN https://www.utusan.com.my/nasional/2021/02/selangor-kl-johor-pulau-pinang-kekal-pkp-2-0/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo