NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Satu Analisa Mengenai Kerjasama UMNO-PAS Di Terengganu: Umno Terengganu Perlu Lebih Rasional

Pada 1 Jun 2019 ke 30 Jun 2019, saya bersama sekumpulan penyelidik telah membuat satu kaji selidik bebas bagi menilai tahap penerimaan pemimpin dan penyokong UMNO kepada Kerajaan PAS di Terengganu serta kepada kerjasama politik PAS-UMNO di Terengganu.

Kaji selidik ini dijalankan secara tatap muka dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata melibatkan 320 responden iaitu 10 responden dari setiap 32 Dewan Undangan Negeri dengan kesemua responden adalah terdiri daripada pemimpin dan penyokong UMNO. 

Turut dibuat adalah Focus Group Discussion (FGD) membabitkan temubual tidak berstruktur secara bersemuka dengan 30 pemimpin UMNO Terengganu yang terdiri daripada Ketua atau Timbalan Ketua Bahagian serta Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Bahagian.

Pada waktu kaji selidik ini dijalankan kerjasama antara PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional belum dimeterai secara rasmi kerana piagam hanya ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

Antara dapatan-dapatan utama kaji selidik ini adalah:

(1) Penerimaan pemimpin dan penyokong UMNO kepada Kerajaan PAS di Terengganu berada pada tahap yang baik dengan 70.63% responden bersikap positif manakala penerimaan mereka kepada Menteri Besar PAS Terengganu berada pada tahap yang amat baik dengan 91.25% responden bersikap positif.

(2) Dari segi perjawatan, terdapat sedikit ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin dan penyokong UMNO dengan 55.32% responden menyatakan pemimpin UMNO dipinggirkan tetapi 56.26% responden menyatakan dasar-dasar Kerajaan PAS Terengganu memberi manfaat kepada penyokong UMNO.

(3) Terdapat sokongan yang kuat ke atas idea pembentukan kerajaan campuran di Terengganu di mana 68.13% responden bersetuju dengannya manakala 91.56% responden bersetuju bahawa kerjasama politik PAS-UMNO di peringkat nasional adalah sesatunya jalan untuk mengalahkan PH dalam PRU 15.

(4) 65.07% responden bersetuju peruntukan kerusi DUN kepada PAS-UMNO dalam PRU 15 perlu dilakukan mengikut status quo (4 PAS 2 UMNO bagi kerusi Parlimen dan 22 PAS 10 UMNO bagi kerusi DUN) manakala 71.25% responden bersetuju dengan penyerahan Kerajaan Negeri Terengganu untuk diterajui oleh PAS.

Dalam konteks dapatan-dapatan kaji selidik inilah maka saya terperanjat bila membaca kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, di dalam sebuah portal berita hari ini mengenai status kerjasama UMNO dan PAS di Terengganu.  

Mengikut Datuk Seri Tajuddin, UMNO Terengganu hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS di Terengganu dalam PRU 15 jika ia diperuntukkan dengan 4 kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN dan beliau difahamkan bahawa syarat ini mungkin tidak dilayan oleh PAS.

Mengapa UMNO Terengganu kini meletakkan peruntukan 4 kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN dalam PRU 15 sebagai syarat kerjasama dengan PAS tatkala 65.07% daripada pemimpin dan penyokong UMNO Terengganu sebelum ini bersetuju ia dibuat mengikut status quo?

Mungkinkah UMNO Terengganu kini sudah lebih yakin bahawa UMNO akan dapat merampas kembali Terengganu dari tangan PAS serta sudah tidak yakin bahawa kerjasama politik PAS-UMNO di peringkat nasional adalah sesatunya jalan untuk membolehkan UMNO berkuasa?

Tidak dapat dinafikan bahawa 2 daripada 6 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PAS dalam PRU 14 bukanlah dengan majoriti yang besar, iaitu membabitkan:

1. Calon PAS di P40 Kemaman yang menang dengan majoriti 2,163 undi, dan

2. Calon PAS di P34 Setiu yang menang dengan majoriti 2,802 undi.

Begitu juga 6 daripada 22 kerusi DUN yang dimenangi oleh PAS dalam PRU 14 juga bukanlah dengan majoriti yang besar, iaitu membabitkan:

1. Calon PAS di N24 Ajil (P38 Hulu Terengganu) yang menang dengan majoriti 4 undi, 

2. Calon PAS di N5 Jabi (P34 Setiu) yang menang dengan majoriti 55 undi, 

3. Calon PAS di N15 Ladang (P36 Kuala Terengganu) yang menang dengan majoriti 363 undi, 

4. Calon PAS di N20 Pengkalan Berangan (P37 Marang) yang menang dengan majoriti 490 undi, 

5. Calon PAS di N32 Air Putih (P40 Kemaman) yang menang dengan majoriti 746 undi, dan 

6. Calon PAS di N23 Kuala Berang (P38 Hulu Terengganu) yang menang dengan majoriti 1,070 undi.

Begitupun, jika logik kemenangan dengan majoriti yang kecil calon-calon PAS ini mahu digunakan oleh UMNO Terengganu untuk menuntut kerusi-kerusi tersebut dari tangan PAS maka logik yang sama juga sebenarnya boleh digunakan oleh PAS Terengganu untuk menuntut beberapa kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi oleh UMNO dalam PRU 14.  

Ini kerana 1 daripada 2 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh UMNO dalam PRU 14 bukanlah dengan majoriti yang besar, iaitu membabitkan:

1. Calon UMNO di P38 Hulu Terengganu yang menang dengan majoriti 2,868 undi, dan

Begitu juga 4 daripada 10 kerusi DUN yang dimenangi oleh PAS dalam PRU 14 juga bukanlah dengan majoriti yang besar, iaitu membabitkan:

1. Calon UMNO di N25 Bukit Besi (P39 Dungun) yang menang dengan majoriti 46 undi, 

2. Calon UMNO di N1 Kuala Besut (P33 Besut) yang menang dengan majoriti 143 undi, 

3. Calon UMNO di N8 Batu Rakit (P34 Setiu) yang menang dengan majoriti 299 undi, dan

4. Calon UMNO di N30 Kijal (P40 Kemaman) yang menang dengan majoriti 1,265 undi. 

Masa sama, perlu diingatkan bahawa pemimpin tertinggi UMNO, termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden UMNO yang juga merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah berkali-kali menegaskan dalam media massa bahawa formula utama perundingan kerusi membabitkan UMNO dan PAS adalah pengekalan status quo, iaitu semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi oleh calon UMNO dalam PRU 14 akan ditandingi oleh calon UMNO dalam PRU 15 manakala semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi oleh calon PAS dalam PRU 14 akan ditandingi oleh calon PAS dalam PRU 15.

Dalam konteks sejarah pula, inilah juga antara intipati utama perjanjian yang dipersetujui antara pemimpin tertinggi UMNO dan pemimpin tertinggi PAS, iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan Tan Sri Mohd Asri Muda, sewaktu UMNO dan PAS bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran pada 1 Januari 1973 dahulu, iaitu bahawa “…hendaklah tidak ada sebarang pertandingan antara PAS dengan UMNO di dalam pilihan raya kecil di dalam kawasannya masing-masing…” dan bahawa “kawasan-kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum 1969…hendaklah dianggap kawasan PAS…”.

Berdasarkan kepada faktor-faktor kehendak akar umbi, keputusan UMNO Pusat dan sejarah masa lalu ini maka nyatalah tuntutan UMNO Terengganu supaya ia diperuntukkan dengan separuh kerusi Parlimen dan separuh kerusi DUN sebagai syarat untuk ia bekerjasama dengan PAS di Terengganu dalam PRU 15 adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan. 

Pengumuman Datuk Seri Ahmad Said bahawa UMNO Terengganu akan bertanding di semua 8 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di Terengganu juga tidak sepatutnya dibuat kerana paling keras sekalipun pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu yang saya temui dahulu sekadar mahukan pertembungan berlangsung di kerusi-kerusi yang dipertikaikan sahaja.

UMNO Terengganu sepatutnya mengenepikan sentimen yang belum terbukti bahawa kekalahan UMNO di Terengganu dalam PRU 14 adalah berpunca daripada faktor dalaman dan bahawa UMNO akan dapat merampas kembali Terengganu dari tangan PAS jika mereka bertembung dalam PRU 15 demi untuk kepentingan ummah di peringkat nasional.

Sebarang permasalahan yang lain wajarlah diselesaikan di peringkat dalaman.

 https://www.facebook.com/100001022016761/posts/4057806550930039/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo