NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sambutan Terengganu Hijab Day Dengan Norma Baharu




KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sambutan Terengganu Hijab Day (THD) akan diteruskan penganjurannya buat tahun ketiga meski pun berada dalam keadaan norma baharu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, objektif utama penganjuran ialah untuk menyedarkan masyarakat tentang kewajiban menutup aurat dengan sempurna.

“Selain itu, kita juga nak menggalakkan masyarakat khususnya kaum wanita Islam untuk bertudung dengan lebih sempurna mengikut syariat Islam, di samping untuk menyatakan sokongan terhadap kempen World Hijab Day serta menyedarkan masyarakat mengenai kempen tersebut.

“Oleh kerana dunia sedang berdepan dengan wabak sekarang ini, kami tambahkan satu lagi objekti baharu iaitu menggalakkan generasi muda untuk menjalankan aktiviti dakwah jalanan kepada masyarakat umum walaupun secara norma baru," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

THD merupakan program sambutan tahunan pada 1 Februari anjuran Nisa’ Negeri Terengganu dengan kerja sama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita (ADUN) Terengganu, selain badan bukan kerajaan (NGO) wanita iaitu Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES).

Menurut Sakinah lagi, THD dianjurkan bermula 2019 dan kali ini merupakan tahun ketiga penganjuran dan akan diteruskan dengan metod secara atas talian sesuai dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah kita akan lancarkan kempen bermula esok (1 Februari 2021) dan akan berlangsung selama sebulan, kemuncaknya pada 13 dan 15 Februari 2021 ini.

“Antara program yang dirancang ialah pertandingan ‘selfie and wefie’ (swafoto) dan video pendek, ‘live sharing with influencer’ (perkongsian secara atas talian bersama pesohor) serta video-video berkaitan hijab daripada wanita.


“Paling istimewa, kita akan bawakan selebriti dan ‘insta-famous’ (pesohor Instagram) dalam sesi perkongsian atas talian kita, kalau nak tahu siapa, kena ikuti hebahan di halaman rasmi Nisa’ Terengganu," ujarnya lagi.

Justeru itu, wanita di negeri ini diseru untuk sama-sama mengambil bahagian dalam gelombang THD ini menyertakan tanda pagar Terengganu Hijab Day, Sempurnakan Auratmu dan End Hijabophobia di media sosial masing-masing.

Beliau juga mengingatkan bahawa ujian pandemik ini mengajar umat untuk kembali kepada tuhan dan manfaatkan peluang ini sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Sumber: https://www.trdi.my/sambutan-terengganu-hijab-day-dengan-norma-baharu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo