NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perginya intelektual pemikir ekonomi negara


PUTRAJAYA: Pemergian Prof. Dr. Hoo Kee Ping merupakan satu kehilangan besar kepada negara sebagai seorang intelektual pemikir ekonomi.

Kee Ping meninggal dunia di kediaman beliau di Kuala Lumpur kerana serangan sakit jantung.

Menurut Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, mendiang dijadualkan menjadi ahli panel Webinar Intelektual Negara yang dirancang diadakan pada malam ini bertajuk: ‘Vaksin: Sejauh Manakah Ia Mampu Menjadi Penyelamat?’

Katanya, Ahli Jawatankuasa Pintar itu seorang yang aktif memberikan pandangan-pandangan beliau sama ada dalam kumpulan WhatsApp, media sosial atau media arus perdana.

“Baru-baru ini pandangan beliau mengenai Gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas bakal menang besar PRU-15 telah mendapat liputan meluas dalam media tempatan.

“Mendiang juga merupakan Penganalisis dan Penasihat Ekonomi bagi KSI Strategic Institute, di mana beliau banyak memberikan pandangan mengenai situasi ekonomi negara terutama ketika berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan darurat,” katanya hari ini.

Mohd. Roslan berkata, pemergian mendiang Kee Ping merupakan satu kehilangan besar bagi rakyat dan negara yang sentiasa prihatin mendengar dan memerhati ulasan-ulasan ekonomi dari pelbagai sudut pandang walaupun ada berbeza pandangan dan pendapat.

Bagi menghormati sumbangan beliau dan kehilangan tokoh ini, katanya, Pintar bersetuju menangguhkan Webinar Intelektual Negara itu.

“Seluruh warga Pintar ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Kee Ping sempat memberikan pandangan terakhir kepada Utusan Malaysia dan disiarkan pada 9 Februari lalu berhubung penggabungan parti Melayu iaitu Bersatu, Pas dan UMNO boleh menang 100 kerusi pada PRU-15. -UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo