NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peranan Perdana Menteri dalam pengurusan COVID-19



BEBERAPA hari lalu saya terbaca pandangan seorang pensyarah kanan sains politik di sebuah universiti awam tempatan mengenai peranan Perdana Menteri dalam pengurusan COVID-19. Pandangan beliau yang dilaporkan oleh media amat menarik perhatian saya.

Katanya, “Tugas ‘Jeneral Perang COVID-19’ sepatutnya kini digalas Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan bukan lagi di bahu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia)…Apa yang terbaik adalah untuk Perdana Menteri sendiri yang diamanahkan untuk memberi kepimpinan, berkhidmat untuk negara dan rakyat, mengambil tanggungjawab ini sebagai jeneral perang COVID-19 di Malaysia kerana beliau ada kuasa.”

Saya amat bersetuju dengan pandangan ini kerana inilah yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri. Malah, sejak pandemik COVID-19 bermula hampir setahun yang lalu, inilah peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri.

Cuma mungkin ramai yang tidak mengetahuinya secara terperinci kerana banyak perkara yang berkaitan dengan pengurusan pandemik berlaku di sebalik tabir. Hal-hal yang berlaku di sebalik tabir inilah yang dikatakan sebagai ‘kotak hitam’ dalam sistem politik dan kerajaan. (Pelajar saya yang pernah mengambil subjek Introduction to Political Science pasti ingat perbincangan kita mengenai teori sistem politik yang dikupas oleh David Easton)

Saya bukanlah tahu banyak perkara mengenai apa yang berlaku di dalam kerajaan. Tetapi sebagai pembantu kepada Perdana Menteri, bolehlah saya jelaskan serba sedikit mengenai peranan Perdana Menteri dalam mengurus pandemik COVID-19. Antaranya ialah:
1. Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri pada setiap hari Rabu. Ketika Parlimen bersidang, Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan pada setiap hari Jumaat. Kertas-kertas Jemaah Menteri mengenai pakej-pakej rangsangan ekonomi, perolehan vaksin, program vaksinasi, cadangan perisytiharan darurat dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pengurusan pandemik COVID-19 dibincang dan diluluskan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

2. Perdana Menteri juga mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 tiga kali seminggu. Sidang Khas MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ini bermula sejak bulan Mac 2020. Sidang ini dihadiri oleh Menteri-Menteri yang berkaitan, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri dan Ketua-Ketua Agensi Kerajaan yang berkaitan. Di dalam sidang khas inilah keputusan-keputusan penting mengenai pengurusan COVID-19 dibuat. Ini termasuklah pelaksanaan PKP, PKPB, PKPD dan PKPP, peruntukan kewangan kepada agensi-agensi frontliners, pertambahan pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, bantuan kepada negeri-negeri yang terjejas, pencegahan wabak COVID-19 dalam kalangan PATI dan penghuni penjara dan banyak lagi. Menteri Kanan Pertahanan membuat pengumuman-penguman penting hasil daripada keputusan yang dibuat di dalam sidang khas ini. Ketua Pengarah Kesihatan pula membuat sidang media harian mengenai perkembangan terkini COVID-19 yang intipatinya dilaporkan terlebih dahulu di dalam sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

3. Perdana Menteri juga mempengerusikan Sidang Majlis Keselamatan Negara Mengenai Darurat yang bermesyuarat dua kali seminggu. Sidang ini membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pelaksanaan Ordinan Darurat termasuk hal-hal berkaitan penguatkuasaan dan pindaan-pindaan kepada undang-undang sedia ada untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan darurat dalam melawan COVID-19.

4. Di bawah sidang ini terdapat sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) dan Ketua Setiausaha Negara.

5. Perdana Menteri juga mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) pada setiap hari Isnin. Mesyuarat ini meneliti laporan-laporan terkini mengenai petunjuk ekonomi negara dan membuat keputusan-keputusan penting mengenainya. Fokus utama MTE pada masa ini ialah untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat dan memulihkan semula ekonomi negara di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19.

6. Perdana Menteri juga mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara yang memberi fokus kepada penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya kepada mereka yang terjejas dengan pandemik COVID-19 pada masa ini.


Selain daripada mesyuarat-mesyuarat ini, Perdana Menteri juga mendengar taklimat-taklimat mengenai pengurusan pandemik COVID-19 daripada Menteri-Menteri, Ketua-Ketua Agensi Kerajaan yang berkaitan dan pakar-pakar kesihatan dan ekonomi serta membuat keputusan-keputusan penting mengenainya untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana.

Dari segi jadual tugas Perdana Menteri, hampir setiap hari beliau terlibat secara langsung dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan pengurusan COVID-19. Arahan-arahan diberikan kepada agensi-agensi pelaksana untuk dilaksanakan dengan segera.

Yang terbaharu ialah arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat tangkapan, pemeriksaan dan penggeledahan dalam operasi membanteras pendatang asing tanpa izin dan pencegahan COVID-19.

Penjelasan ringkas saya ini diharapkan dapat membantu para pengkaji dan pelajar sains politik atau sesiapa sahaja yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai peranan Perdana Menteri dalam pengurusan COVID-19 di negara ini.

Mudah-mudahan ianya bermanfaat.

Datuk Dr Marzuki Mohamad,
Ketua Setiausaha Sulit Kepada YAB PM

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo