Responsive Ad Slot

PAS: Kenapa buku Thomas tak sentuh kes Guan Eng?


PAS mempertikaikan mengapa bekas peguam negara Tommy Thomas tidak menyentuh isu membabitkan pengguguran kes mahkamah Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng dalam buku memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

Malah, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, tulisan-tulisan Thomas itu dilihat tidak menepati realiti yang berlaku.

"Ada yang komen tak sepatutnya dia menulis sekarang terhadap isu-isu terbabit. Bahkan ada yang disembunyikan dalam tulisan beliau khususnya isu yang melibatkan Lim Guan Eng.

"Kenapa langsung tak disentuh? Fakta-fakta yang dibawa juga dipertikai oleh banyak pihak termasuk isu 13 Mei, faktanya tidak begitu. Itu banyak orang pertikai peranan dia sebagai peguam negara pada ketika itu.

"Isu menggugurkan kes Lim Guan Eng walaupun kes tengah berjalan, isunya bukan kes itu tetapi isunya kenapa langsung tidak disentuh dalam tulisannya," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Kit Gunting Rambut di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Menteri alam sekitar dan air itu berkata demikian ketika diminta mengulas kandungan buku tulisan Thomas yang kini menjadi kontroversi selepas diterbitkan, baru-baru ini.

Untuk rekod, dalam buku Thomas hanya sebaris ayat yang berkaitan dengan kes Lim.

Ayat itu berbunyi: "Hanafiah sendiri telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menjelaskan sebab-sebab dia membuat keputusan menarik balik tuduhan jenayah ke atas Lim Guan Eng".

Thomas tidak menjelaskan lebih terperinci, juga tidak menyatakan secara spesifik kes yang dimaksudkan.

Hal ini menimbulkan persoalan kerana keputusan menggugurkan tuduhan Lim merupakan salah satu kritikan utama terhadap Thomas selama dia memegang jawatan sebagai peguam negara.

Dalam buku itu, dia mengulas kritikan lain terhadapnya, termasuk berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, dan berhubung mengugurkan pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan LTTE.

Pada 3 Sept 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam. Turut dibebaskan ialah seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di bawah harga pasaran semasa.

Thomas mewakili Lim ketika pemimpin DAP itu dituduh menghina mahkamah apabila mendakwa tuduhan terhadapnya adalah penyalahgunaan kuasa.

Pada Ogos 2018, Thomas menarik diri dari sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara mengenai kes Lim.

Ia berlaku dua bulan selepas Thomas dilantik sebagai peguam negara.

Kemudian pada bulan September 2018, pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Lim dan meminta Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang mempertimbangkan pelepasan tanpa pembebasan.

Namun, mahkamah memberikan Lim pembebasan penuh.

Hanafiah, yang merupakan ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Timbalan Pendakwa Raya, pada waktu itu, mengatakan dia membuat keputusan itu tanpa tekanan mana-mana pihak.

"Saya ingin menekankan bahawa saya telah memutuskan berhubung perwakilan tanpa pengaruh dari mana-mana pihak," katanya.

Hanafiah telah membuat laporan polis terhadap Thomas mengenai kenyataan dalam memoirnya.

Buku Thomas menerima kritikan setelah didakwa mendedahkan krisis dalaman yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta bagaimana sistem perundangan negara beroperasi.

Pihak berkuasa kini menyiasat Thomas atas tuduhan menghina susulan laporan polis yang dikemukakan oleh beberapa pihak termasuk bekas peguam negara Apandi Ali

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/561993

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo