NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Padoman: Kompas Kuno Tamadun Melayu


Ratusan tahun sebelum orang-orang Eropah menggunakan kompas bermagnet, orang-orang Melayu telah pun mahir menggunakan kompas bermagnet untuk menentukan arah dalam pelayaran dan pembinaan candi. Sebenarnya, pelayar-pelayar Melayu amat mahir menentukan arah ketika belayar hanya dengan melihat bintang-bintang di langit. Bintang-bintang ini dinamakan sebagai bintang pedoman.

Namun begitu, orang-orang Melayu telah mencipta dan menggunakan kompas bermagnet yang hampir sama dengan ciri-ciri kompas moden. John Crawfurd telah menulis di dalam “A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries” bahawa orang-orang Melayu telah menggunakan kompas sebelum orang-orang Eropah.


Terdapat perkataan asal dalam Bahasa Melayu bagi magnet iaitu “besi berani” dan dengan besi berani ini orang Melayu membuat kompas yang digunakan untuk menentukan arah dalam pelayaran dan aktiviti yang lain. Kompas ini dikenali dengan nama “Padoman” atau “Pandoman” (asal perkataan pedoman). Pada padoman ini diletakkan jarum bagi menunjukkan arah.

Kompas kuno Melayu ini terbahagi kepada 16 bahagian penunjuk arah yang mana 4 daripadanya menunjukkan arah yang utama (timur, barat, utara dan selatan). Manakala 12 bahagian yang lain menunjukkan arah-arah yang lain. Seterusnya John Crawfurd menyatakan bahawa dengan sebab itu, kuil-jkuil Hindu kuno di Jawa dibina dengan memiliki ketepatan arah yang mengejutkan yang mana pintu hadapannya dibina menghala ke barat dan timur.

Selain itu, John Crawfurd juga menyatakan bahawa ketika Portugis tiba di India, mereka mendapati bahawa pedagang-pedagang Islam belayar ke timur dengan menggunakan kompas. John Crawfurd seterusnya menyatakan bahawa di antara tahun 1505 hingga 1506, terdapat seorang pelayar Portugis yang belayar di antara kepulauan-kepulauan di Nusantara. Ketika beliau belayar dari Borneo ke Jawa, beliau mendapati bahawa seorang pemilik kapal di Jawa telah belayar dengan membawa kompas yang menggunakan magnet.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo