NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MTUC desak siasat agensi Amanah Ikhtiar Malaysia



KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa siasatan ke atas agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berhubung kegagalan dalam menjelaskan yuran bulanan ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia (KEPAIM) yang dibuat melalui pemotongan gaji.

Setiusaha Agung MTUC, Kamarul Bahrin Mansor memaklumkan Amanah Ikhtiar Malaysia memotong gaji pekerja untuk yuran kesatuan namun tidak disalurkan kepada kesatuan pekerja.

“Jadi kita rasakan bahawa ini satu ketidakadilan dan juga telah melanggar perjanjian bersama yang telah ditandatangani oleh perjanjian pekerja dengan pihak syarikat.

“Kami bersama-sama dengan kesatuan KEPAIM ingin menyeru syarikat amanah ikhtiar ini membayar balik anggaran sejumlah RM145,200 yuran ini yang sudah ambil dan telah dipotong daripada gaji pekerja selama 10 bulan.

“Kita rasa ini satu penindasan kepada pekerja-pekerja kerana duit ini adalah duit pekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, apabila pekerja bersetuju pemotongan wang gaji mereka disalurkan kepada kesatuan pekerja maka ini adalah hak kesatuan pekerja.

Sementara itu, katanya kesatuan pekerja telah menghantar beberapa surat pemberitahuan kepada syarikat Amanah Ikthtiar Malaysia namun mereka tidak melayan surat-surat tersebut.

“Jadi kita memohon kepada pihak polis untuk menyiasat apakah sebabnya syarikat amanah ikhtiar ini tidak memberi yuran ahli kepada kepada kesatuan pekerja.

“Kita mendesak perkara ini disiasat dan jika ada pecah amanah, tindakan yang perlu diambil ke atas mereka kerana telah menghilangkan kepercayaan ahli-ahli ke atas syarikat ini,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), ahli-ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (KEPAIM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia( MTUC). 

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/23/mtuc-desak-siasat-agensi-amanah-ikhtiar-malaysia/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo