Kompaun RM10,000 untuk pesalah berulang, cetus penularan Covid-19


JELI — Kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa pada 11 Mac ini hanya dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan berulang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mereka yang boleh mencetuskan penularan COVID-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan kerajaan menaikkan nilai kompaun daripada RM1,000 kepada RM10,000 bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan termasuk gagal memakai pelitup muka.

“Mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 selepas rayuan berdasarkan alasan…”

“Sebaliknya, untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu di sini hari ini.

Pada 25 Feb lepas, dilaporkan individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 akan berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam Portal rasmi Jabatan Peguam Negara. Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Abdul Hamid berkata individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu bagaimanapun boleh membuat rayuan bagi pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan.

“Mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 sahaja selepas rayuan berdasarkan alasan yang diberikan,” katanya, yang memaklumkan bahawa pihak polis hanya terbabit dalam penguatkuasaan pematuhan SOP dengan mengeluarkan kompaun dan tidak menerima bayaran kompaun.

Abdul Hamid berkata PDRM akan mengesyorkan kepada KKM supaya mengenakan kompaun RM10,000 tersebut terhadap premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen.

— BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post