NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah kita benar-benar patuh SOP Covid-19?


SABTU lepas Melaka mencatat kadar kes baharu Covid-19 paling tinggi dalam sejarah semenjak wabak itu mula melanda negeri ini tahun lepas iaitu sebanyak 329 kes. Semalam juga masih tinggi, 313 kes.

Sabtu lepas juga kita dikejutkan dengan sidang media oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Jasin yang mendedahkan seramai 604 individu disahkan positif Covid-19 di sebuah ladang dan kilang memproses ayam di Serkam, sejak saringan dilakukan pada Isnin minggu lepas.

Ia membawa kepada persoalan adakah kita sebenarnya sudah benar-benar mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Malah, menurut laporan itu lagi, operasi kilang berkenaan sudah diarahkan tutup selama tujuh hari disebabkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu meletakkan pekerja di tempat yang sesak dan sempit dengan tidak menitikberatkan penjarakan fizikal.

Selain penjarakan sosial yang biasanya berpunca daripada polisi majikan sendiri, memang terdapat rungutan daripada mereka yang terlibat dengan aktiviti kerja kasar seperti buruh binaan, pekerja bengkel, pekerja ladang dan kerja-kerja yang banyak menggunakan fizikal terhadap pemakaian pelitup muka.

Memang ada yang berkata mereka sukar menggunakan pelitup muka kerana kerja yang mereka lakukan menyebabkan mereka berpeluh-peluh. Ada juga yang beranggapan bahawa pelitup muka mengganggu mereka melakukan tugasan mereka. Ini mungkin antara yang menyebabkan ramai antara mereka yang tidak mengendahkan SOP ini.

Cuba perhati pula di sekeliling kita, sebenarnya masih ramai lagi apabila kita berjumpa yang akan bertanya “Boleh salam ke?”. Maksudnya individu seperti ini mahu berjabat tangan dengan kita sekiranya kita pun tidak kisah untuk berjabat tangan.

Ini menunjukkan bahawa arahan agar tiada sentuhan apabila berjumpa, yang ditetapkan dalam SOP Covid-19 tidak difahami dengan jelas. Pertanyaan ini menunjukkan ada lagi yang tetap mahu berjabat tangan tetapi kepada mereka yang juga mahu berjabat tangan.

Itu belum masuk lagi jenis golongan yang terus menghulurkan tangan untuk berjabat tangan apabila berjumpa menunjukkan mereka tidak menghiraukan langsung soal SOP. Atau mereka tidak tahu wujudnya SOP ini?

Lebih teruk lagi ialah mereka yang menyindir-nyindir pula orang yang tidak mahu berjabat tangan dengan mereka kerana mematuhi SOP!

Sebenarnya masih ramai yang menganggap SOP ini suatu yang karut. Ada yang mengamalkannya hanya atas dasar takut disaman semata-mata tanpa memahami bahawa SOP itu untuk menyelamatkan nyawa mereka sendiri.

Kerana itu ada yang beranggapan bahawa mereka hanya tidak bersentuh dan tidak bersalam dengan orang yang mereka tidak kenali tetapi apabila mereka bertemu dengan rakan-rakan dan saudara-mara, mereka tidak kisah bersalam malah berpelukan.

Mereka tidak sedar bahawa kita semua sebenarnya tidak tahu adakah orang lain yang kita temui itu, walau pun mereka itu jiran atau orang serumah dengan kita, ada berjumpa dengan sesiapa pada hari yang sama yang telah menghidap Covid-19 tanpa mereka sedar.

Sebenarnya apa pun alasan, kita tidak ada pilihan melainkan terpaksa bersusah payah mematuhi SOP untuk menjaga nyawa kita dan nyawa orang lain.

IBNU JANIE
• Editor CPP Berita PAS Melaka dan WARM
• Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka

Sumber: https://berita.pas.org.my/pena-editor-melaka-adakah-kita-benar-benar-patuh-sop-covid-19/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo