NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Waspada Taktik Penipuan Ambil Alih Akaun WhatsApp


21 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

SKMM menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan taktik tersebut menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.

“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

“Pengguna yang terpedaya akan menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM memaklumkan modus operandi jenayah ini akan melakukan penyamaran sebagai rakan atau ahli keluarga dan merayu untuk mendapatkan kod pengesahan tersebut.

“Scammer menyamar sebagai kakitangan WhatsApp dan meminta pengguna menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima.

“Scammer sengaja membuat beberapa cubaan pengesahan yang gagal. Lantaran itu, sistem WhatsApp akan seterusnya membuat panggilan automatik ke nombor pengguna untuk memaklumkan kod pengesahan.

“Scammer kemudiannya melakukan penyamaran dan berhubung dengan pengguna untuk mendapatkan kod berkenaan dan sekiranya tidak menjawab dari pengguna, scammer akan cuba meneka atau meminta kata laluan atau PIN peti mesej suara pengguna, untuk mengakses rakaman tersebut, “katanya.

Justeru, SKMM menyeru agar pengguna berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang yang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.

“Para pengguna diingatkan agar tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan enam digit WhatsApp kepada mana-mana pihak,” katanya.

SKMM berkata pengguna yang telah menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp disaran untuk mengikuti langkah seperti di pautan https://faq.whatsapp.com/general/account-and- profile/stolen-accounts/ untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.

“Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran.

“Laporan juga boleh dibuat kepada SKMM menerusi saluran portal aduan https://aduan.skmm.gov.my, e-mel: aduanskmm@mcmc.gov.my atau WhatsApp: 016-220 6262,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/01/21/waspada-taktik-penipuan-ambil-alih-akaun-whatsapp/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo