NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Talian ‘Aduan Pothole DBKL’ mudahkan aduan jalan berlubang




9 JAN : Sebanyak 271 aduan jalan berlubang telah diterima pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melalui talian aduan whatsapp ‘Aduan Potholes DBKL’, sejak talian aduan melalui whatsapp itu diperkenalkan 7 Januari lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata, aplikasi talian aduan itu diperkenalkan bagi kemudahan orang ramai membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan kerosakan jalan raya di ibu kota.

“Kami telah menerima sebanyak 271 aduan melalui platform ini sejak 8 Jan lepas.

“Aduan Potholes DBKL ini diwujudkan demi keselamatan pengguna jalan raya berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku sejak beberapa minggu ini berpunca daripada terdapatnya jalan berlubang di atas jalan raya.

“Kami akan menghantar pasukan baik pulih dengan kadar segera jika maklumat disalurkan adalah tepat dan penilaian juga dapat dikenal pasti sama ada di bawah DBKL atau konsesi.

“Bagi jalan berlubang yang saiznya kurang daripada satu meter persegi, tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam daripada aduan diterima,” ujarnya.

Beliau juga menasihati pengguna yang memilih menggunakan saluran ‘Aduan Potholes DBKL – 011 62396652 https://wa.link/jobdg3’ itu agar menyatakan lokasi tepat jalan rosak bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Selain aplikasi tersebut, DBKL juga mempunyai pelbagai saluran bagi orang awam memanjangkan aduan berkaitan jalan berlubang, antaranya melalui laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (pusat panggilan), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), e-mel, telefon, bersurat selain aduan bersemuka melalui Pejabat-Cawangan DBKL.


Mahadi berkata terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah jalan berlubang antaranya projek pembangunan, korekan utiliti dan kegagalan struktur reka bentuk jalan disebabkan pertambahan jumlah trafik.

“Sejumlah 11,979 kerosakan jalan direkodkan termasuk jalan berlubang sepanjang tahun 2020 dengan keseluruhannya telah diambil tindakan pembaikan oleh DBKL.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri manakala 4,244 lagi adalah melalui aduan awam.

“Selain menggunakan kontraktor turapan, rondaan harian dan berkala sentiasa dilakukan oleh pasukan peronda Public Service Delivery Transformation (PSDT) bagi mengambil tindakan segera terhadap masalah ini,” katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo