Responsive Ad Slot

Proklamasi Darurat: Langkah tepat kerajaan bendung wabak


KUALA LUMPUR: Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan langkah tepat untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut peguam Datuk Salehuddin Saidin, pengisytiharan darurat juga dapat memberikan kuasa kepada kerajaan dalam mengambil langkah lebih berkesan menangani wabak itu.

Beliau berkata, ketika negara dilanda gelombang ketiga dengan jangkitan baharu harian COVID-19 mencecah lebih 3,000 kes, pengisytiharan darurat adalah tindakan proaktif seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"PKP Mac lalu berjaya mengekang wabak ini dengan berkesan, tetapi kita kena ingat, pada ketika itu wabak ini menular 100 hingga 200 kes (sehari) sahaja (dan) kita masih ada perkhidmatan kesihatan yang masih mampu menangani kes wabak COVID-19.

“Tetapi ketika ini, jumlah (harian) konsisten 2,000 (kes) menggambarkan kita perlu mengambil pendekatan lebih tepat, bukan sekadar kawalan PKP tetapi kita kena lihat aspek lain yang mana kerajaan boleh laksanakan dengan berkesan," kata Salehuddin ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Beliau juga memberitahu, pelaksanaan PKP dan pengisytiharan Ordinan Darurat boleh dilaksanakan serentak.

Meskipun langkah berkenaan mengejutkan ramai pihak terutamanya rakyat, Salehuddin berpendapat, usaha menangani pandemik COVID-19 dapat dilakukan sebelum Ogos 2021 seperti mana tempoh darurat yang diumumkan sebelum ini.

"Kita kena menghargai apa ada dalam negara kita, sistem perundangan begitu unik. Kita semak dan imbang, kita ada Institusi Raja, kita ada kerajaan, kuasa di bawah undang-undang adalah kuasa diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda telah bertitah andai kata kerajaan berjaya menangani wabak COVID-19 ini dalam tempoh yang lebih awal, maka pengisytiharan darurat ini akan ditamatkan pada tempoh lebih awal," tambah beliau lagi.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/proklamasi-darurat-langkah-tepat-kerajaan-bendung-wabak-salehuddin-277420

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo