NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKP tak berfungsi tanpa kuasa darurat, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan



Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menyambut baik pengisytiharan darurat Covid-19, mengatakan ia bukan sahaja dibenarkan oleh undang-undang, malah bertepatan dari sudut perubatan dan sepatutnya dilaksanakan ketika pertama kali dicadangkan pada tahun lepas.

Sri Ram turut menyangkal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk memerangi pandemik Covid-19, mengatakan ia hanya akan berkesan jika dilaksanakan bersama pengisytiharan darurat.

Beliau mengatakan apa yang dilalui baru-baru ini membuktikan betapa sukar bagi mengawal pergerakan orang ramai dalam usaha untuk meminimumkan penyebaran virus Covid-19.

“Bukan mudah nak kawal orang ramai. Anda beritahu mereka supaya jangan ke Ipoh, mereka tetap akan ke sana. Anda beritahu mereka tolong jangan pergi ke Johor, tetapi di situlah tempat semua orang akan pergi, kerana mereka ingin tahu mengapa mereka dilarang pergi ke situ,” kata Sri Ram kepada MalaysiaNow.

Semalam tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menuduh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ingin kekal berkuasa melalui pengisytiharan darurat, mengatakan pelaksanaan PKP sudah mencukupi untuk membantu pihak berkuasa untuk memerangi jangkitan Covid-19 yang setakat ini sudah meragut 559 nyawa.

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan PKP yang diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,” kata Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama.

Tetapi kata Sri Ram PKP itu sendiri sudah terbukti gagal.

“PKP secara bersendirian tidak dapat berfungsi tanpa kuasa darurat dan kawalan ke atas kawasan terjejas, kerajaan tidak dapat berfungsi.

“Hospital-hospital kini sesak. Perlu ada satu kuasa bagi menguruskan hospital-hospital atau bangunan swasta dan menukarkannya kepada fasiliti perubatan – bagi mereka kuasa,” tambahnya.

Sri Ram turut menolak dakwaan pelaksanaan darurat melanggar kebebasan hak asasi.

Tetapi kata Sri Ram PKP itu sendiri sudah terbukti gagal.

“Tidak, meskipun Artikel 150(7) diketepikan, hak asasi kebal daripada dicabul,” katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Perkara 150(7), undang-undang yang digubal ketika darurat tidak boleh dicabar dalam mahkamah.

Sri Ram berkata walaupun begitu, kebebasan hak asasi tidak boleh dicabuli, kerana struktur asas Perlembagaan.

Beliau berkata perincian pengisytiharan darurat sudah dinyatakan dengan jelas.

“Kebebasan bersuara tidak dirampas, dan tidak ada sebarang ordinan setakat ini diluluskan untuk menyekat kebebasan bersuara, tidak ada langsung.”

Sri Ram mengatakan belum ada ordinan yang mengekang kebebasan bersuara atau membenarkan penahanan mana-mana individu tanpa melalui proses mahkamah.

“Dan tiada ordinan telah diluluskan yang boleh diklasifikasikan sebagai berbahaya,” katanya.

Pelaksanaan darurat yang diumumkan semalam dilakukan ketika lonjakan kes Covid-19 yang menyaksikan jumlah jangkitan harian mencapai empat digit.

Langkah itu hadir selepas PKP dikuatkuasakan pada tengah malam tadi, yang bakal menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap pergerakan orang ramai bagi mengekang penularan Covid-19.

Muhyiddin mengatakan pelaksanaan darurat yang diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan menambah institusi awam termasuk badan kehakiman akan beroperasi seperti biasa.

Beliau mengatakan semua pilihan raya akan ditangguhkan, tetapi memberi jaminan ia akan diadakan secepat mungkin sebaik sahaja jawatankuasa khas darurat berpuas hati selepas Covid-19 terkawal.

Sri Ram merasakan perintah darurat itu adalah satu langkah yang praktikal dalam menangkis sebarang gangguan dalam mengurus kerajaan, ketika beberapa pemimpin politik mengancam untuk menarik balik sokongan mereka terhadap blok kerajaan.

“Ia demi kepentingan kesihatan orang ramai.

“Kerajaan perlu berfungsi dengan baik,” tambahnya.

Sumber: https://www.malaysianow.com/berita/2021/01/13/pkp-tak-berfungsi-tanpa-kuasa-darurat-kata-bekas-hakim-mahkamah-persekutuan/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo