NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Pahang gerak operasi besar misi bantuan banjir



KUANTAN: PAS Negeri Pahang telah menyusun persiapan dalam menggerakkan seluruh entitinya bagi melaksanakan operasi misi bantuan banjir yang dijadualkan bermula hari ini di Maran.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga ADUN Tanjung Lumpur akan mengetuai operasi ini bersama ADUN Luit, Sopian Abdul Jalil dan ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak.

Setakat semalam, mangsa banjir di seluruh negeri ini meningkat kepada 13,626 orang dengan mereka ditempatkan di 200 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di sembilan daerah.

Maran mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 3,926 mangsa diikuti daerah Kuantan seramai 3,314 mangsa; Raub (1,688); Jerantut (1,458); Lipis (1,122); Temerloh (900); Rompin (772); Bentong (253) dan Pekan (193).

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, jentera dari semua 14 PAS Kawasan negeri ini telah digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir terjejas sebaik yang mungkin.

“Kita akan menggerakkan misi bantuan melalui semua platform yang ada seperti Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Briged Muslimat, Ameerah, Pemuda, Muslimat ke kawasan-kawasan terjejas,” ujarnya.

Beliau juga berharap semua mangsa bersabar dan bertenang menghadapi musibah kali ini dengan mengajak memperbanyakkan doa agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Manakala Pengarah Khidmat Malaysia Pahang, Ustaz Yohanis Ahmad memberitahu, Pusat Operasi Khidmat Malaysia Pahang ditetapkan di Darul Hikmah, Kerdau, Kuala Krau.

Maklum beliau, operasi bantuan akan melibatkan kerja-kerja pemindahan barangan mangsa banjir dan membersihkan kediaman terlibat banjir, selain agihan sumbanhan ke PPS.

Terdahulu, Ustaz Rosli selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Kuantan telah mengadakan lawatan dan serahan sumbangan makanan serta menyantuni mangsa banjir di PPS di Sekolah Menengah Sungai Isap, di sini kelmarin.

Turut serta bersama beliau ialah Pengarah Khidmat Malaysia Kuantan, Sulaiman Md Derus dan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Ustaz Khairul Nizam Che Mustofai bersama pimpinan dan petugas PAS Kuantan.

Beliau yang terdahulu melawat dan menyampaikan sumbangan di PPS Dewan Orang Ramai Sungai Soi dan Sekolah Kebangsaan Kempadang turut memaklumkan bahawa bilik operasi entiti PAS sudah dibuka 24 jam.

Perkembangan banjir kali ini direkodkan paling luas melanda negeri ini dengan kebanyakan sungai juga melepasi paras bahaya dan amaran, selain beberapa jalan utama terputus disebabkan tanah runtuh.

Malah, diawal hujan lebat yang turun juga telah menyebabkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup terus kepada semua jenis kenderaan selama beberapa jam, selain menyebabkan kerosakan struktur.

Pun begitu, pelbagai agensi dan pihak berkuasa sentiasa mengemaskini perkembangan dengan memberi pelbagai alternatif yang boleh diikuti orang ramai menerusi rangkaian media sosial.

Para dermawan boleh membuat sumbangan derma bagi operasi bantuan banjir ini menerusi akaun Bank Islam 0601 9010 070049 atas nama Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 5/1/2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo