NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jenazah Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas selamat dikebumikan


KUALA TERENGGANU: Jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, di sini jam 10.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Mohamed Salleh, 91, yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad tiba di tanah perkuburan itu jam 10.15 pagi dan proses pengebumian dikendalikan kira-kira 10 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Ahli keluarga dan pihak media tidak dibenarkan untuk berada di dalam kawasan perkuburan itu. Mereka hanya melihat proses pengebumian dari jarak 150 meter.


Menantu Allahyarham, Wan Pauzi Wan Yahya, 68, berkata Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Khamis lalu, setelah didapati positif COVID-19 dan disahkan meninggal dunia pada 3.20 pagi tadi akibat pneumonia.

"Ketika berada di hospital, kami anak dan menantu masih dapat bercakap dengan Allahyarham dan beliau belum lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kami juga diberitahu Allahyarham mempunyai masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan pelbagai masalah lain," katanya ditemui selepas selesai urusan pengebumian, hari ini.


Wan Pauzi berkata bapa mentuanya itu terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan malam tadi.

Bagaimanapun, Wan Fauzi mengakui keluarga agak terkilan kerana tidak dapat menunaikan solat jenazah, menatap wajah dan menguruskan jenazah arwah bapa mentua. Akan tetapi mereka reda dengan ketentuan Allah.

Tun Mohamed Salleh pernah menjadi ADUN Jertih dan bekas EXCO kerajaan negeri dari 1999 hingga 2004.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan kubur isteri pertamanya Allahyarhamah Toh Puan Azimah Mohd Ali yang meninggal dunia pada 2016, seperti yang pernah diwasiatkan Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu.

Pada 1984, Mohamed Salleh dilantik menjadi 'Lord President' (kini Ketua Hakim Negara) di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan), sebelum dipecat ketika krisis Perlembagaan pada 1988.

Allahyarham juga adalah seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999, Allahyarham menang atas tiket PAS di Dewan Undangan Negeri Jertih, bagaimanapun atas faktor kesihatan Mohamed Salleh tidak bertanding pada PRU Ke-11 pada 2004.

Dalam pada itu Wan Pauzi berkata, ahli keluarganya berharap agar mana-mana pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu mengambil inisiatif memelihara dokumen, termasuk buku-buku yang ditulisnya serta gambar-gambar peninggalan Allahyarham, dapat dijadikan khazanah untuk tatapan generasi akan datang.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776737/jenazah-bekas-ketua-hakim-negara-tun-salleh-abas-selamat-dikebumikan


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo