Jangan bahayakan diri redah banjir - Bomba



JOHOR BAHRU: Orang ramai dinasihati agar tidak membahayakan diri sendiri dengan meredah banjir sama ada untuk berpindah sendiri dari kediaman mahupun meredah banjir menggunakan kenderaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Johor Datuk Yahaya Madis berkata tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan kerana kekuatan arus dan kedalaman air semasa banjir sekarang sukar dijangka dan boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.

"Kita tidak boleh jangka deras air dan kedalamannya...ambil masa dan tunggu kenderaan lain, jika ada kenderaan lebih besar dan berat lalu dahulu, kita boleh dapat buat jangkaan.

Jangan bersendirian mengharung air dan menyebabkan kereta dihanyutkan oleh air...jika masuk jalan yang tidak biasa lalu dan nampak ada air, berhenti dahulu dan dapatkan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan udara di Kluang, Kota Tinggi dan Mersing dengan menaiki sebuah helikopter AW 139 dari Unit Udara JBPM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Yahaya sekali lagi menasihatkan orang ramai agar segera berpindah ke pusat pemindahan banjir apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa dan tidak membuat andaian sendiri bahawa banjir tidak berbahaya.

Beliau berkata orang ramai perlu segera berkemas dan bersiap sedia keluar ke tempat yang selamat dengan segera berhubung dengan pihak bomba atau agensi lain untuk bantuan dan jangan membahayakan diri serta keluarga dengan berpindah sendiri.

"Saya harap penduduk faham tugas kami...banyak tempat kami ronda dan beri nasihat, jadi mohon beri kerjasama supaya tidak membuang masa kami dengan terpaksa memujuk lama untuk keluar pindah," katanya.

Mengenai pemantauannya dari udara hari ini, Yahaya berkata walaupun hujan dilihat reda pada hari ini namun Bandar Kota Tinggi dan kawasan pedalaman Mersing masih dinaiki air.

"Daerah lain seperti Johor Bahru dan Kluang pada dasarnya telah beransur baik dan keadaan cuaca juga kita harap berterusan tidak hujan seperti dua hari lepas yang terus menerus," katanya.

Beliau berkata seramai 1,221 pegawai dan anggota bomba di negeri ini telah dikerahkan sejak dua hari lepas dengan persediaan sebanyak 42 bot antaranya amfibia dan gentian, 43 unit pacuan empat roda, sembilan lori dan 18 Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post