NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FAQ Darurat – Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi


Soalan 1: Apakah itu darurat?
Darurat bermaksud suatu keadaan bahaya besar yang mengancam keselamatan, kesihatan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, sama ada ancaman besar tersebut sedang berlaku mahupun apabila Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati itu akan berlaku seperti diperuntukkan oleh Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Soalan 2: Apakah kesan perisytiharan darurat di sisi undang-undang?
Apabila darurat diisytiharkan maka kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh dilaksanakan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memasyhurkan mana-mana ordinan yang dikehendaki oleh sebab darurat walaupun tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan tertakluk pada kuasa itu tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa.

Baginda juga boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapati perlu mengikut hal keadaan jika baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta.

Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Perkara 150(3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7).

Kuasa Agong untuk memasyhurkan ordinan semasa darurat boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Ringkasnya, prerogatif Yang Di-Pertuan Agong untuk membuat ordinan begitu luas selagi berada dalam batasan yang dibenarkan serta untuk mencapai maksud darurat itu diisytiharkan.

Soalan 3: Adakah perisytiharan darurat merampas kuasa kerajaan yang dipilih oleh rakyat?
Tidak, darurat itu satu keadaan yang sah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 menetapkan prerogatif Yang Di-Pertuan Agong bagi perisytiharan darurat. Kerajaan Malaysia pada hakikatnya ialah Kerajaan Yang Di-Pertuan Agong, iaitu Yang Di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri Baginda.

Soalan 4: Apakah yang membolehkan Yang Di-Pertuan Agong membuat perisytiharan darurat?
Keadaan yang membolehkan baginda mengisytiharkan darurat termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ialah seperti berikut:

(1) Jika Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang Di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Soalan 5: Bilakah dan di manakah darurat boleh diisytiharkan?
Darurat boleh diisytiharkan bila-bila masa apabila Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati berlakunya dua keadaan seperti di atas serta setelah menerima permintaan daripada Jemaah Menteri atau pihak-pihak berwibawa seperti Majlis Keselamatan Negara. Darurat boleh diistiharkan bagi keseluruhan Persekutuan, atau mana-mana bahagian Persekutuan. 

Soalan 6: Adakah keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat boleh dipersoal?
Keputusan Baginda seperti peruntukan di bawah fasal-fasal Perkara 150(1) dan 150(2) tidak boleh dicabar oleh mahkamah atas apa jua alasan. Perkara 150(8) memperuntukkan:

(8) Walau apapun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini—
(a) Hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2b) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai keesahan—

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) Atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);

(ii) Juat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) Mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2b); atau

(iv) Penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Peruntukan di atas menunjukkan prerogatif Yang Di-Pertuan Agong.

Soalan 7: Apakah kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan perisytiharan Darurat?
Itu adalah prerogatif baginda, baginda boleh memperkenankan, menangguhkan atau menolak permintaan bagi perisytiharan darurat. Dalam melaksanakan keputusan di atas, selain menimbangkan permintaan Jemaah Menteri, lazimnya Yang Di-Pertuan Agong berunding dengan Majlis Raja-Raja begitu juga Majlis Keselamatan Negara terlebih dahulu. Itulah prinsip ‘syura’ yang diwarisi daripada sistem politik watan Tanah Melayu.

Pada hakikatnya kuasa itu sudah wujud sebelum Hari Merdeka pada Raja-Raja Melayu yang memerintah wilayah kekuasaan masing-masing di Tanah Melayu, malahan di mana jua bahagian dunia sekalipun kuasa tersebut sudah ada berserta dengan kewujudan sebuah kerajaan.

Yang penting, rakyat perlu diberi kefahaman bahawa proklamasi darurat tidak semesti berlaku akibat peperangan atau implikasi perisytiharannya membawa mala petaka. Darurat bukanlah suatu yang baharu di negara kita. Pada 20 Disember 2011 tiga proklamasi darurat dibatalkan di Dewan Negara, iaitu:

1. Proklamasi Darurat 1966 di Sarawak pada 14 September 1966 akibat pertikaian politik;

2. Proklamasi Darurat 1969 di Persekutuan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969; dan

3. Proklamasi Darurat 1977 di Kelantan pada 8 November 1977 akibat pertikaian politik .

Meskipun Persekutuan berada dalam tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 2011, Malaysia terus membangun dan PRU dilaksanakan. Parlimen dibubarkan pada 30 Mac 1969, manakala keputusan Pilihan Raya Umum bagi Semenanjung Tanah Melayu diumumkan pada 10 Mei 1969. Di Sabah dan Sarawak, PRU terpaksa ditangguhkan, hanya pada 4 Julai 1969 selesai dilaksanakan. Parlimen hanya dipanggil bersidang pada 20 Februari 1971, iaitu hampir 2 tahun selepas tarikh pembubarannya.

Soalan 8: Adakah Parlimen tergantung dengan perisytiharan darurat?

Tidak, perisytiharan darurat tidak menggantung Parlimen, begitu juga PRU. Apa yang berlaku, Perlembagaan memberi keluasan prerogatif kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga halnya, PRU boleh ditangguhkan melewati batasan tempoh sedia ada di bawah Perlembagan. Dalam tempoh darurat, Parlimen boleh dipanggil oleh baginda, PRU boleh dilaksanakan dan keadaan itu lebih mudah difahami jika kita melihat apa yang berlaku sepanjang tempoh 15 Mei 1969 hingga Jun 2012.

Oleh Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain

Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik dan Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang

12 Januari 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo