NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Disiplin, patuh SOP faktor kejayaan PKP kali ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu melaksanakan semula kaedah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Mac tahun lalu kerana langkah sedia ada ini boleh memberikan hasil dengan syarat rakyat memberikan kerjasama sebaiknya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan,Universiti Malaya (UM), Prof Dr Noran Naqiah Hairi, berkata PKP kali ini boleh menunjukkan kejayaan jikarakyat tidak 'mengkhianati' kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan.Mengulas lanjut beliau berkata, kerjasama itu termasuklah mematuhi tindakan kesihatan awam dengan hanya keluar rumah jika ada urusan penting dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

"Kita harus tahu PKP kali ini tidak seperti yang dilaksanakan seperti dulu sebab kali ini kita perlu mengimbangi kehidupan dan kesihatan. Kita dibayangi dengan PKP kali pertama sedangkan ketika itu kita masih tak 'kenal' virus terbabit menyebabkan perintah sekatan ketat dilaksanakan.

"Namun sekarang ini kita lebih mengenali virus cuma apa yang kita perlu pastikan ialah memberi kerjasama dan rakyat gunakan kepercayaan diberikan kerajaan dengan sebaiknya.

"Kita sudah tahu tindakan kesihatan awam memang boleh berkesan dan jika ia diamalkan bilangan kes akan menurun secara berkadar namun semua harus memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing," katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Kes positif COVID-19 di negara ini secara konsisten menunjukkan empat angka sejak Disember tahun lalu dengan antara kes harian tertinggi direkodkan ialah 4,029 pada 16 Januari lalu.

Malah, kes kematian yang dilaporkan kelmarin juga adalah paling tinggi pernah direkodkan iaitu 18 kes

menjadikan jumlah kumulatif kematian disebabkan oleh COVID-19 sebanyak 660 atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada masa sama, Dr Noran Naqiah berkata, keberhasilan PKP kali ini tidak boleh diadili sekarang kerana ia

hanya akan boleh dilihat dalam tempoh dua minggu dari tarikh 13 Januari lalu.

Beliau berkata, jika ada yang berpendapat kes masih dilihat tinggi meskipun PKP sudah dilaksanakan, ia adalah disebabkan rekod pergerakan dalam tempoh dua minggu lalu.

"Keberhasilan PKP kali ini tidak boleh nampak sekarang sebaliknya dalam tempoh dua minggu dari tarikh penguatkuasaannya iaitu sekitar 28 Januari nanti.

"Tempoh itu akan menjadi titik tolak dengan kita boleh lihat hasilnya dan saya berharap ia boleh membantu melandaikan lekuk.

"Jika tempoh PKP kali ini tidak mencukupi maka ia perlu dilanjutkan lagi sehingga boleh meratakan lekuk namun tidak perlu kembali kepada kaedah PKP kali pertama," katanya.

Dr Noran Naqiah berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian kini dan agak membimbangkan ialah peningkatan pesakit COVID-19 yang terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan atas dasar itu, peranan masyarakat amat diperlukan dalam mengawal situasi terbabit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo