Responsive Ad Slot

BERSATU tumpu kesejahteraan rakyat menerusi kerajaan Perikatan Nasional


KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pihak secara berterusan melakukan percaturan politik ketika rakyat negara itu sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19 dan bencana banjir, disifatkan tidak kena pada masanya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan, berkata sebarang bentuk percaturan politik, khususnya cadangan diadakan pilihan raya umum (PRU) hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pandemik COVID-19 berada pada tahap lebih baik dan terkawal.

Beliau berkata, dalam situasi sekarang Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang bermesyuarat malam tadi, mengambil ketetapan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir ketika ini.

"Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya.

"BERSATU berpendirian bahawa PRU hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pandemik COVID-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal.

"Oleh yang demikian, agenda utama BERSATU ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara," katanya menerusi satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat itu, malam tadi.

Mesyuarat selama kira-kira tiga jam itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Presiden BERSATU.

Yang turut hadir Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Wan Saiful berkata, sebagai parti yang mempelopori pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), BERSATU beriltizam terus mempertahankan kerjasama politik yang telah dipersetujui bersama parti-parti dalam kerajaan itu, dengan berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat.

Malah katanya, usaha itu akan diteruskan dengan adil dan saksama, bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada semua lapisan agama, bangsa dan budaya.

"BERSATU juga menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang telah diwujudkan melalui PN dapat terus dihormati dan dipelihara.

"Dalam konteks parti PN, BERSATU akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti-parti anggota yang lain iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP)," katanya.

Beliau berkata, BERSATU memutuskan untuk memberi fokus terhadap pembinaan kekuatan parti melalui amalan politik khidmat dan politik prihatin, serta mengarahkan seluruh jentera untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Katanya, mesyuarat malam tadi juga bersetuju untuk menganjurkan siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo