NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Benarkah MCA adalah ‘DAP dalam Kerajaan PN?

1. Hakikat yang berdaki dalam BN ialah UMNO keterlaluan menjaga hati MCA. UMNO keterlaluan mendambakan undi masyarakat Cina melalui MCA samalah seperti PKR dan PAN melututi DAP untuk tujuan yang sama. Kalau PKR dan PAN sanggup menolak dan berbalah dengan PAS demi DAP, begitulah UMNO sanggup bermusuh dengan PAS berdekad-dekad lamanya asalkan tak kehilangan MCA. 

2. Jarang kita dengar UMNO berselisih dengan MCA seperti jarangnya kita dengar UMNO menyepakati PAS dalam hal-hal berkaitan kepentingan agama dan bangsa. UMNO amat menjaga konsensusnya dengan MCA. UMNO tak akan berani berkontradiksi. Konsensus BN khususnya UMNO-MCA ini seumpama wala’ dalam jamaah PAS. Bezanya satu sahaja. Wala’ ahli PAS selagi pemimpin tidak bercanggah dengan hukum agama. Tetapi konsensus UMNO-MCA tidak peduli apakah sesuatu itu bertentangan dengan agama atau tidak. Contoh mudah, isu hudud. MCA kata UMNO jangan menyokong hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS. Maka atas nama konsensus BN, UMNO sepanjang 60 tahun di tampuk kuasa tidak pernah menjadikan pelaksanaan hukum tersebut sebagai agenda agamanya. 

3. Itulah senario politik UMNO sebelum wujudnya perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional (MN). Adapun setelah wujudnya MN ini, senario ini belum teruji. Sedangkan senario dominan masakini ialah kerajaan PN sedang meniti di titian usang. Hayatnya bergantung titian tadi sama ada selamat untuk ke seberang ataupun jatuh timbul tenggelam dibawa arus. Lagipun negara masih bergelut dengan Covid19. Jadi amatlah dangkal sekiranya dalam masa perit dan gawat ini, PAS mempertaruhkan idealismanya buat masa ini.

4. Seperti kata Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz, di lampu merah PAS akan berhenti. Bila hijau, PAS akan meneruskan perjalanan. Masanya akan tiba selepas PRU15 dan Covid19 bukan lagi ancaman. Kini pun ramai peminat RUU355 dan hudud dari kalangan Melayu PH bertanya,”bila lagi PAS nak laksanakan hudud? Kan PAS sudah jadi kerajaan?”

5. Mutakhir ini semacam ada kolaborasi dalam gelap antara DAP dengan MCA. Apabila DAP tidak lagi menjadi anggota kerajaan, suara mereka seolah-olah menyusup masuk melalui MCA. Malah ada perkhabaran beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN mereka akan melompat ke dalam MCA. Kalau benar khabar ini menjadi kenyataan, strategi mereka mudah dijangka. UMNO dan PAS perlu berwaspada. Kalau ikan di air sudah diketahui jantan betinanya, tak kan belat dibiarkan buruk di huma.

6. Antara isu yang kelihatan MCA dan DAP senada dan bersama ialah RUU355, tulisan jawi, pencerobohan tanah di Raub dan sekolah vernakular. Inilah isu yang disentimenkan oleh golongan rasis dan chauvanis. RUU355 dan tulisan jawi ditentang. Pencerobohan haram tanah kerajaan dan sekolah vernakular dipertahankan. Sekiranya UMNO terus bersikap lembik tengkuk terhadap MCA, maka chauvanis DAP-lah sebenarnya pemenang. 

7. Justeru, kluster perpaduan ummah dalam UMNO perlu didokong dan diperkasakan oleh ahli-ahli UMNO. Perlu diingat, Perhimpuan Agung UMNO 2019 telah meminda Fasal 3 perlembagaan UMNO dengan meletakkan Islam di depan. Ini adalah momen terpenting yang menjustifikasikan Islam perlu diterjemahkan sebagai amalan dan pelaksanaan; bukan terus menjadi untaian retorik yang berpanjangan.  

8. MN mesti naik dengan Islam dan bersedia jatuh demi Islam. Zaman berlembut dan terlalu bertolak-ansur dengan golongan yang menikam pribumi mesti dinokhtahkan. Nyahkan gementar ke luar batas kompromi. Kembalikan kehebatan Islam di anjung Nusantara ini. Keadilan dan keindahannya biar menjadi payung; pelbagai etnik dan budaya hidup mesra dan harmoni.


#NekadBersamaIslam
#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam
#MAMPUCentre


BayangDiAir,
19/1/2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo