NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ambil iktibar kes kartel daging import, perkasa sektor halal

MALAYSIA digemparkan dengan pembongkaran kartel daging import yang diimport dari beberapa negara luar. Ia membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.

Tamparan hebat juga buat Malaysia sebagai hab halal terkemuka dan peneraju sektor itu pada peringkat global.

Sistem pengurusan rantaian bekalan halal yang kompleks membabitkan kos dan komitmen tinggi baik di sektor pembekalan, logistik, pergudangan atau peruncitan.

Ia membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab dalam mana-mana bahagian rantaian untuk menawarkan bahan mentah (daging) diragui status halal pada harga lebih murah, berbanding disediakan pembekal yang mempunyai persijilan halal.

Ini mencetus kekeliruan, termasuk kepada peruncit untuk memastikan daging diperoleh bersumberkan pembekal yang mempunyai persijilan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Aktiviti lain dalam rantaian pembekalan juga perlu diurus dan patuh syariah baik ketika penyimpanan, pembungkusan, pergudangan dan pengangkutan untuk mengelak percampuran daging halal dan tidak halal atau pencemaran silang.


Tidak terhad kepada sektor pembekalan, kompleksiti sistem rantaian bekalan halal juga memberi kesan langsung kepada sektor logistik, termasuk pengangkutan.

Sektor logistik halal perlu memperuntukkan fasiliti khusus seperti stor penyimpanan, pengangkutan dan pengendalian yang hanya terhad kepada produk halal untuk mengelak pencemaran silang.

Perkara ini memerlukan kos tinggi dan tenaga kerja kompeten dalam pengendalian produk halal, terutama bahan mentah seperti daging import yang berisiko tinggi berlaku pencemaran silang ketika penyimpanan dan pengangkutan.

Berdasarkan sumber direktori Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), hanya lima syarikat logistik mempunyai persijilan halal JAKIM.

Ini memberi gambaran jelas bahawa kurang kesedaran pihak pengurusan logistik terhadap keselamatan pengurusan produk halal dan keperluan meningkatkan bilangan syarikat logistik halal yang mempunyai persijilan halal.

Cabaran dan tuntutan semasa serta gaya hidup masyarakat kini yang menggemari produk sejuk beku, makanan segera tetapi segar, serta pesanan dalam talian dan penghantaran terus membuktikan keperluan kepada syarikat logistik patuh syariah turut berkembang.

Walaupun akreditasi persijilan dan logo halal JAKIM diiktiraf dan diterima pakai serata dunia sebagai piawaian persijilan terbaik, JAKIM masih berdepan ancaman perilaku salah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Satu lonjakan dan pembaharuan drastik perlu dilakukan melalui agensi penguatkuasaan halal dalam ekosistem rantaian pembekalan untuk menjamin tidak berlaku sebarang penyalahgunaan logo halal JAKIM.

Isu permasalahan integriti juga kritikal dihadapi dalam sistem rantaian bekalan halal. Ini terbukti melalui pendedahan mengenai pembabitan beberapa pegawai tertinggi dalam proses kelulusan import.

Kes berkaitan kartel daging benar-benar menjejaskan dan menimbulkan persoalan rakyat kepada nilai integriti pihak berkuasa negara, sekali gus mencalarkan reputasi keseluruhan sistem pentadbiran halal negara.

Secara makro, walaupun isu nilai integriti hanya membabitkan beberapa pegawai, keseluruhan organisasi turut terpalit secara tidak langsung dan ia perlu dipandang serius.

Di sebalik cabaran kritikal dihadapi sistem rantaian pembekalan halal daging mentah yang diimport, wujud beberapa peluang penambahbaikan terhadap sistem rantaian sedia ada untuk memastikan kualiti dan jaminan halal produk daging diimport tidak meragukan.

Penggunaan teknologi dalam sistem rantaian bekalan halal penting untuk mengelak berlaku pencabulan terhadap proses persijilan halal oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti berlaku dalam kes kartel daging import ini.

Penggunaan kod respon pantas (QR) dalam menggantikan logo dagangan halal dilihat penyelesaian terhadap isu logo halal palsu yang mudah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Kemudahan penggunaan kod QR membolehkan pengguna atau pembeli mengimbas dan mendapatkan maklumat berkenaan status persijilan halal pembekal, logistik dan peruncit.

Sistem persijilan halal perlu seiring perkembangan teknologi, yang mana penggunaan teknologi dalam kalangan pengguna masa kini dilihat sebagai peluang keemasan kepada JAKIM untuk melangkah seiring perkembangan teknologi.

Kerajaan, terutama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga perlu memainkan langkah penting mengurangkan kebergantungan bekalan daging mentah kepada negara luar.

Ini dapat dicapai dengan mewujudkan skim bantuan terhadap usahawan ternak desa tempatan untuk membabitkan diri dalam proses pembekalan daging mentah kepada sektor runcit dalam negara.

Peluang ini perlu dilihat sebagai langkah serampang dua mata oleh kerajaan untuk memastikan jaminan halal daging mentah dan keselamatan makanan terjamin, dengan mengurangkan kebergantungan bekalan daging mentah import.

Memperbanyakkan pembabitan syarikat Muslim dalam sistem pengurusan pembekalan halal juga dilihat sebagai peluang mengurangkan risiko kefahaman salah laku halal dan meningkatkan keyakinan pengguna.

Isu kartel daging import seharusnya membuka mata kerajaan untuk menstruktur semula pihak berkuasa bertanggungjawab dalam ekosistem pengurusan halal bagi daging import ini.

Ini adalah isu kartel daging import ini perlu dilihat merentasi bukan sekadar isu persijilan halal semata-mata, tetapi juga soal integriti pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam tadbir urus halal dan berkaitan.

Persoalan bukannya berapa banyak agensi penguatkuasaan terbabit dalam pengurusan produk daging halal, tetapi berapa tinggi nilai integriti dimiliki pegawai yang diberi amanah dan tanggungjawab dalam memastikan daging mentah diimport mematuhi piawaian halal ditetapkan.

Di luar batas pemikiran apabila isu kartel daging import berleluasa selama hampir berdekad tanpa dapat dikesan seorang pegawai yang memegang amanah.

Oleh itu, kerajaan perlu melihat isu integriti dalam kalangan pegawai awam sebagai peluang memberi latihan dan seminar berkala untuk memantapkan nilai integriti.

Lantikan pegawai memegang amanah bukan sahaja terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan meluas mengenai piawaian persijilan halal, tetapi juga mahir mengenai proses input-output dan aktiviti teknikal dalam sistem rantaian pembekalan daging.

Semua inisiatif ini penting untuk memulihkan imej agensi kerajaan terbabit, sekali gus mengembalikan keyakinan awam dan antarabangsa terhadap kesungguhan kerajaan dalam memastikan isu kartel daging import tidak berulang pada masa hadapan.

Tuntasnya, cabaran dihadapi pihak pemegang taruh dalam pengurusan rantaian bekalan halal, terutama sektor makanan seperti produk daging mentah akan sentiasa wujud selari perkembangan zaman apabila kesedaran pengguna terhadap kepentingan keselamatan makanan halal semakin meningkat.

Halal juga melambangkan dan boleh dizahirkan sebagai pencapaian piawaian kualiti sesuatu produk makanan.

Akan tetapi, cabaran yang wujud perlu dilihat sebagai peluang keemasan untuk pemegang taruh meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal, sekali gus membuka mata dunia terhadap kesungguhan kerajaan Malaysia untuk bergelar sebagai hab halal terkemuka global.

***Dr Mohd Nizam adalah Profesor di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Dr Ariff Azly adalah penyelidik di fakulti sama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo