Responsive Ad Slot

Aceh Laksana Hukum Sebat Pasangan Gay Lakukan Seks




28 JAN : Wilayah Aceh hari ini melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pasangan gay kerana didapati melakukan hubungan seks sejenis.

Dua lelaki itu, masing-masing dikenakan hukuman sebanyak 80 sebatan kerana melanggar peraturan syariah yang ditetapkan oleh pemerintah wilayah tersebut.

Penguatkuasaan Syariah Islam adalah muktamad tanpa mengira siapa individu itu, malah pengunjung juga perlu menghormati norma penduduk tempatan, demikian kata pegawai ketenteraman awam, Heru Triwijanarko.

Pasangan gay tersebut ditahan oleh pihak berkuasa Aceh di sebuah rumah sewa, apabila tuan rumah menemui kedua-duanya dalam keadaan separuh bogel dalam bilik mereka.

Seks sejenis tidak menyalahi undang-undang di kawasan lain di Indonesia kecuali Aceh, yang juga satu-satunya wilayah di negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia melaksanakan undang-undang Syariah.

Pada hari yang sama, empat lagi individu berusia antara 17 dan 40 tahun, turut dikenakan hukuman atas dakwaan minum arak atau bertemu pasangan berlainan jantina.

Hukuman sebat di khalayak ramai adalah perkara biasa di Aceh dan ia dijatuhkan terhadap pelbagai kesalahan, termasuklah berjudi, minum arak serta berzina.

Kumpulan hak asasi manusia menyelar hukuman sebat di khalayak ramai dan menyifatkannya sebagai kejam manakala Presiden Indonesia, Joko Widodo, menggesa ia dihentikan dan kebanyakan rakyat Aceh menyokongnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo