67 pencawang ditutup akibat banjir di Pahang dan Johor - TNB


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan 67 pencawang elektrik di Pahang dan Johor akibat banjir, membabitkan 5,845 pengguna.

TNB dalam kenyataan memaklumkan setakat jam 10 pagi semalam, 57 pencawang di daerah Kuantan, Rompin, Maran, Jengka, Jerantut, Bentong, Raub dan Kuala Lipis di Pahang dihenti tugas demi keselamatan pengguna, sementara 10 pencawang di Johor melibatkan Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kluang dan Kota Tinggi turut ditutup.

Jelas TNB, penutupan 67 pencawang itu melibatkan 4,502 pengguna di Pahang dan 1,343 pengguna di Johor.

"Sementara itu, 18 pencawang elektrik di Johor dan tiga di Pahang menerima bekalan sementara daripada set jana kuasa bergerak. Usaha menyambung bekalan sementara di daerah Kuala Lipis dan Raub terganggu akibat keadaan banjir yang belum surut dan kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan.

"TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan elektrik dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, TNB memaklumkan paras air Empangan Sultan Abu Bakar (SAB) di Cameron Highlands, Pahang kembali normal.

Menurut TNB, siren pertama dibunyikan secara putus-putus berserta lampu amaran kuning sejak jam 4.43 petang semalam di empangan itu untuk memberi amaran kepada penduduk bahawa paras air sedang meningkat dan bersedia kemungkinan pengungsian jika paras terus meningkat.
Bagaimanapun, paras terkini adalah normal dan di bawah paras limpahan terkawal serta siren putus-putus dihentikan pada jam 2.43 pagi semalam.

Justeru, TNB menasihatkan pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

"Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air," menurut TNB.

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post