Responsive Ad Slot

Rakyat Malaysia Wajib Tahu Apa China Sedang Lakukan Sekarang

oleh: Abdul Muein Abadi

1. Ada tiga perkara besar yang dilakukan China sekarang yang bakal memberi kesan hingga ke generasi anak cucu kita: mereka berjaya hasilkan komputer kuantum yang 100 trilion kali ganda lebih laju daripada komputer super yang paling berkuasa hari ini, mereka berjaya mendarat dan mengutip batuan di bulan, dan dalam masa yang sama mereka dilaporkan menceroboh perairan kita sebanyak 287 hari sejak Disember 2019.

2. Paling menakjubkan, dua daripada tindakan ini dicapai hanya dalam tempoh seminggu: pertama apabila misi mereka ke bulan berjaya mengutip dan membawa pulang 2kg batu dari bulan melalui prob Chang’e-5. 

3. Kejayaan besar kedua China pula apabila saintis dari University of Science and Technology of China berhasil mencapai ‘Quantum Supremacy’ apabila membina sebuah komputer kuantum yang mampu melaksanakan pengiraan sebanyak 100 trilion kali ganda lebih laju daripada komputer super yang paling berkuasa hari ini. 

4. Malah, prototaip komputer kuantum China ini 10 bilion kali ganda lebih laju berbanding mesin pertama yang mencapai status sedemikian milik Google. 

5. Kesemua kemajuan China ini cukup signifikan kepada kita dalam perkiraan trajektori kebangkitan kuasa China pasca-pandemik COVID-19 nanti.

6. Kejayaan misi Chang’e-5 menjadikan ‘Mimpi Angkasa Lepas’ China semakin hampir untuk disempurnakan. China merancang untuk membina Stesen Angkasa Lepas mereka sendiri pada tahun 2022, dan seterusnya menghantar misi eksplorasi ke Musytari pada tahun 2029. 

7. Modul angkasa lepas tersebut dilancarkan pada penghujung November lalu, mendarat di bulan pada Selasa minggu lepas, mengutip sampel batu bulan pada hari rabu, dan bertolak meninggalkan bulan pada hari khamis. 

8. Kejayaan misi Chang’e-5 ini berlaku dalam keadaan China masih belum memanfaatkan teknologi komputer kuantum mereka yang baru sahaja diterbitkan dalam jurnal Science.

9. Teknologi komputer kuantum yang dicapai China ini mampu merevolusi kehidupan manusia dalam pelbagai aspek; daripada menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas trafik hinggalah ke rawatan penyakit. 

10. Namun begitu, pakar telah memberi amaran bahawa teknologi sedemikian boleh mendatangkan ancaman besar ke atas sistem komunikasi, kewangan, dan kerajaan yang digunapakai saat ini. 

11. Paling ketara, teknologi ini bakal mengimpak kekuasaan China, khususnya di Laut China Selatan nanti. Kebetulan, Chang’e-5 dilancarkan dari Hainan, hampir dengan pangkalan tentera China tidak jauh di Laut China Selatan.

12. Lebih serius bagi kita, Asia Maritime Transparency Institute (AMTI) baru sahaja melaporkan bahawa dalam tempoh antara 1 Disember 2019 hingga 30 November 2020, China telah mengaturgerak kapal-kapal pengawal pantai mereka di Beting Patinggi Ali, Sarawak, sebanyak 287 hari. 

13. Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendedahkan China menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019. 

14. Lebih serius, semasa pandemik COVID-19, China bukan sahaja meningkatkan pencerobohan mereka, bahkan turut bertindak menganggu operasi cari gali minyak dan gas di blok-blok minyak milik negara. 

15. Kapal China menganggu drillship Borr Gunnlod, kapal Sapura Constructor di Blok SK410 yang dioperasi oleh syarikat PTT daripada Thailand, Petronas Carigali dan KUFPEC.

16. Ia sama seperti apa yang dilakukan oleh kapal-kapal pengawal pantai China dalam menganggu operasi kapal West Capella yang dibawah kontrak oleh Petronas awal tahun ini. 

17. Kita di Malaysia cukup mengetahui betapa benarnya realiti cubaan China untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai ‘empayar maritim’ mereka; sejak 2012 lagi kapal mereka mengancam kapal seismic survey Petronas, sejak 2013 pula mereka mengadakan latihan ketenteraan dan memacak bendera China di Beting Serupai. 

18. Terkini, peristiwa ancaman kapal China ke atas kapal eksplorasi West Capella di bawah kontrak Petronas di dua blok penerokaan hidrokarbon kita iaitu Arapaima-1 dan Lala-1 sebelum berundur pada Mei lalu.

19. Dalam keadaan China semakin aktif mempersiapkan keupayaan teknologi angkasa lepas serta komputer kuantum mereka, manakala kapal-kapal mereka berterusan menceroboh serta cuba mengganggu-gugat operasi cari gali minyak kita, tidak seharusnya kita di Malaysia terus leka dan berpecah-belah sesama kita. 

***Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo