NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Gerik : 11 AJK UMNO Gerik Tawar Diri



IPOH, 14 Dis -- Setakat Jumaat lepas, seramai 11 individu termasuk daripada kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Gerik telah menyatakan hasrat untuk menjadi calon UMNO bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Saarani Mohamad berkata sesiapa lagi yang berminat menawarkan diri sebagai calon, mempunyai masa sehingga pukul 5 petang ini untuk menghantar profil mereka kepada Setiausaha Eksekutif UMNO Perak.

"Mereka yang berminat boleh menghantar maklumat sama ada dalam bentuk e-mel ataupun bercetak. Selepas itu, semua nama ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Parti sebelum diputuskan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Saarani yang juga Pengerusi BN Perak bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat sulung Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) setelah beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, pada 10 Dis lepas.

Beliau berharap semua yang menawarkan diri dapat bersedia dan reda sekiranya tidak terpilih sebagai calon yang bakal mewakili UMNO pada PRK Gerik yang ditetapkan 16 Jan depan. 

Dalam pada itu, Saarani berkata pihaknya merancang untuk mengadakan majlis pengenalan calon BN seminggu lebih awal daripada tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhjaya Pilihan Raya iaitu 4 Jan depan. 

PRK Gerik akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman pada 16 Nov lepas akibat serangan jantung. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Allahyarham Hasbullah menewaskan Norhayati Kasim daripada PAS dengan majoriti 6,216 undi.

Allahyarham sekali lagi mempertahankan kerusi bagi kawasan itu pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon PAS Mohd Dahalan Ismail dan calon Bersatu Ibrahim Mohd Hanafiah.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo