PKR Sarawak Tolak Keputusan Larry Sng, Kalau Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang


Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak sebulat suara menolak keputusan Larry Sng untuk mengundurkan diri daripada jawatan tertinggi parti itu.

Dalam satu kenyataan setelah mengadakan satu mesyuarat tergempar malam tadi, Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit berkata Majlis Pimpinan Negeri memberikan sokongan penuh kepada Sng sehingga pemilihan parti akan datang.

"Justeru ahli-ahli Keadilan (PKR) di seluruh Sarawak diminta bertenang dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada semua kepimpinan parti dari peringkat pucuk pimpinan sampai ke cabang.

"Keadilan Sarawak juga menyeru kepada cabang-cabang dan ahli-ahli Keadilan seluruh Sarawak agar terus bersatu dan menumpukan kepada usaha yang berterusan dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat di setiap cabang dan kawasan masing-masing," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Semalam, Sng melalui media sosial mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PKR Sarawak, dengan alasan jawatan tertinggi parti itu harus diketuai oleh pemimpin Dayak sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Adun Julau itu berkata majoriti penduduk di negeri ini berketurunan Dayak,  namun etnik ini kurang diwakili di peringkat kepimpinan tertinggi.

"Setelah membuat pertimbangan mendalam, demi kepentingan terbaik PKR Sarawak, saya memutuskan bahawa parti ini mesti dipimpin oleh pemimpin Dayak dalam berdepan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

“Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak yang mewakili 43 peratus penduduk manakala orang Melayu dan Cina hanya pada 24 peratus sahaja.

"Namun, kami mendapati bahawa kawasan termiskin dan paling mundur di Sarawak terletak di kawasan pedalaman Dayak," kata Sng dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sng pertama kali bertanding di bawah tiket Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDP) pada pilihan raya negeri 2001, ketika menggantikan bapanya sebagai wakil rakyat DUN Pelagus.

Dia berkhidmat dua penggal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri BN untuk Pelagus dari 2001 hingga 2011 dan dilantik sebagai pembantu menteri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud pada tahun 2004.

Dia kemudian mewakili Parti Rakyat Sarawak dan Parti Pekerja Sarawak sebelum menyertai PKR selepas menang parlimen Julau sebagai calon bebas pada PRU 2018.

Dia dilantik sebagai pengerusi PKR Sarawak pada Mac ini.

Pilihan raya negeri Sarawak kali terakhir diadakan pada Mei 2016 dan dengan itu, pemilihan mesti diadakan pada tahun 2021.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post