Pihak terlibat industri daging akan dipanggil fahami garis panduan - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 29 Dis -- Kerajaan akan memanggil pihak industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan haiwan bagi memastikan mereka memahami garis panduan yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia sekali gus bagi memastikan kepatuhan yang tinggi dan berintegriti dapat dilaksanakan dengan baik. 

“Selain itu, kita akan berbincang untuk mengenal pasti kelemahan SOP (prosedur operasi standard) dan ia akan diperkuat dan diperkemas lagi, insya-Allah pada Januari akan datang,” katanya selepas Program Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Seri Sentosa di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut akan mengeluarkan satu kenyataan hari ini berkaitan isu daging import dan sembelihan dalam negara.

Isu berkenaan mendapat perhatian selepas media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Terdahulu, ketika berucap pada program berkenaan Zulkifli berkata MAIWP menyalurkan zakat berjumlah RM623.66 juta kepada golongan memerlukan sejak Januari hingga 30 Nov tahun ini.

Katanya, zakat yang dikutip turut diagihkan kepada 30 skim bantuan, agihan menerusi institusi pendidikan dan perlindungan serta bagi prasarana umat Islam di Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post