NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PEJUANG Guna NGO Sementara Tunggu Kelulusan ROS

SHAH ALAM: Ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) akan bergerak menggunakan saluran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sementara waktu.
Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata percaturan itu dibuat sementara menanti kelulusan parti berkenaan yang masih tertangguh di peringkat Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Apabila diluluskan, katanya, PEJUANG akan mengambil segala kredit usaha dan khidmat yang diberikan NGO berkenaan.

"Kita kena bersabar, sebab sabar separuh daripada iman. Sambil-sambil itu tidak bermakna kita tidak boleh bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Maka kita tubuhkan dengan kelulusan RoS, sebuah NGO, iaitu Pertubuhan Gerak Khidmat Rakyat Malaysia (KHIDMAT).

"Gunakan NGO ini untuk apa juga aktiviti kita, mewakili PEJUANG, bila sudah lulus nanti kita boleh ambil kredit semua kerja dan kebaikan sebagai usaha pejuang," katanya pada ucaptama Majlis Amanat Perjuangan 2021, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pemudanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.

Menyentuh matlamat PEJUANG, Mukhriz berkata, parti itu akan merintis usaha untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat.

Katanya, perangkaan yang menunjukkan kadar kemiskinan tegar di negara ini berada pada tahap tiga peratus ialah tidak cukup memberangsangkan.

"Kalau boleh kita jadikan sampai sifar, saya tahu ini sesuatu yang mustahil, tetapi yang mustahil itu dapat kita buat kalau diusahakan.

"Cumanya, kita semua kena berkorban dulu, baru dilihat sebagai perjuangan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo