NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Negeri Sembilan Bawa Usul Hadkan Tempoh Khidmat Menteri Besar


SEREMBAN, 16 Dis -- Kerajaan Negeri Sembilan akan membawa usul mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan menteri besar dihadkan kepada dua penggal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Jadi kami kena akur… perkara ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco dan seterusnya sidang DUN, kami akan pastikan ia menjadi sebahagian Rang Undang-Undang (RUU) atau undang-undang enakmen bagi kerajaan Negeri Sembilan.
"Kami akan minta pegawai undang-undang menyiapkan usul tersebut sebelum diserahkan kepada jawatankuasa perlembagaan DUN untuk diteliti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata jawatan tersebut terbuka kepada mana-mana parti sepertimana yang akan diluluskan dalam sidang DUN kelak.

PH menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas memaklumkan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri akan dihadkan kepada dua penggal jika PH mentadbir negara bertujuan memastikan ketelusan pentadbiran.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta bagi menaik taraf kawasan sungai di negeri ini sebagai langkah mengelakkan kejadian banjir kilat yang kerap berlaku.

“Kami telah mengenal pasti sembilan kawasan sungai yang kerja menaik taraf itu tidak melibatkan sebarang kos di peringkat kerajaan negeri melainkan ia ditanggung pihak swasta berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo