NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memulih ekonomi negara Artikel

oleh: MOHD AZMI ABDUL HAMID

KETENATAN ekonomi masa kini sering dikaitkan dengan soal pandemik koronavirus (Covid-19). Tidak dinafikan wabak itu mengakibatkan lebih 60 juta kes jangkitan sehingga November 2020 dan lebih 1.4 juta yang maut melumpuhkan ekonomi dunia.

Langkah pencegahan terutama pengawalan pergerakan rakyat menyebabkan pelbagai industri ekonomi terjejas.

Menambah parah apabila kehilangan jutaan pekerjaan di pelbagai sektor menggawatkan lagi ekonomi yang tenat, namun perlu difahami kelembapan ekonomi bukan hanya disebabkan Covid-19.

Ada faktor lain yang sebenarnya turut menimpa ekonomi negara ini yang perlu disemak. Perspektif yang menyeluruh terhadap kelembapan ekonomi perlu difahami.

Ekonomi yang berjalan di seluruh dunia sekarang adalah ekonomi riba yang serba berkait. Daripada sistem perbankan mahupun sistem kewangan.

Sistem riba menjadi ibu kepada sistem ekonomi kapitalis yang dikawal oleh hanya segelintir golongan elit dunia. Memperincikan penyelesaian kepada kelembapan ekonomi perlu melihat kepada beberapa aspek ekonomi makro dan mikro.

Negara kini masih dibeban dengan bil import makanan yang mencecah lebih RM50 bilion setahun. Tidak nampak ia akan berkurangan.

Nilai wang yang keluar dari negara menyebabkan negara menanggung beban yang parah. Oleh kerana itu usaha mengurangkan bil import makanan perlu dipergiatkan.

Sementara itu, langkah mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian hendaklah dilancarkan dan meningkatkan pengeluaran makanan (agro food) sekali gus mengurangkan kos input pertanian harus diberi perhatian serius.

Kebergantungan kepada sumber tenaga manusia dari luar dalam industri pemakanan hendaklah diminimumkan. Selanjutnya, melaksanakan skim peluang pekerjaan kendiri (self employment) dan modal awal keusahawanan mikro hendaklah dirangka.

Penjawat awam yang kini berjumlah sekitar lebih sejuta orang tidak mungkin boleh menampung seluruh graduan negara. Sudah sampai masanya pengangguran graduan universiti diatasi dengan membina kerjaya kendiri.

Isu di peringkat mikro jelas menyebabkan banyak perkembangan dan daya maju perniagaan terencat. Walaupun nilai hartanah menunjukkan tanda menurun, namun kadar sewaan tapak dan premis perniagaan masih tinggi.

Langkah menurunkan kadar sewaan perlu dilakukan untuk meningkatkan permintaan. Pihak kerajaan juga perlu mengambil langkah rasionalisasi rejim cukai yang boleh membantu aliran wang tunai dalam ekonomi terbuka. 

Cukai individu dan korporat memberi kesan kepada kecairan tunai dalam pasaran. Pendapatan kerajaan daripada sistem cukai GST atau SST perlu diperincikan agar pendapatan golongan B40 dan M40 tidak terjejas.

Langkah menumpu dan mengukuhkan industri keperluan asas sangat membantu negara daripada kebergantungan kepada sumber luar. Tidak ketinggalan usaha mengintensifkan pelancongan domestik perlu diperkukuhkan.

Pelancongan keluar negara akan menjejas aliran wang negara. Keupayaan menarik pelancong ke dalam negara lebih membantu ekonomi tempatan.

Suatu penilaian terhadap kehilangan pekerjaan akibat wabak perlu diberi perhatian serius. Skim pengambilan semula pekerja yang diberhentikan dalam pelbagai sektor perlu diusahakan.

Tawaran kerja di pelbagai sektor melalui industri intensif tenaga kerja perlu dikembangkan. Kerajaan juga perlu kritikal terhadap sebarang perjanjian perdagangan luar yang tidak adil.

Pada akhirnya, penyelesaian kepada kelembapan ekonomi negara harus mengguna pendekatan lebih fundamental dan holistik. Hanya dengan itu kemelut ekonomi akan dapat dipulihkan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/112111/KOLUMNIS/Memulih-ekonomi-negara

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo