Kes Adun DAP Perak Rogol Pembantu Rumah Dibicara 30 Mac Depan.

Mahkamah Tinggi di Ipoh menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac depan untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menetapkan tarikh 30 Mac hingga 9 April itu selepas Yong, 50, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya berumur 23 tahun di kediaman beliau di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Dis lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Yong pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut membenarkan seramai 23 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan, dengan 20 daripada pihak pendakwaan manakala tiga lagi oleh pihak pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh. Turut hadir peguam pemerhati mewakili pihak Kedutaan Indonesia dan mangsa, Azura Alias.

Dalam pada itu, Ainul Wardah memohon kepada mahkamah agar seorang jurubahasa Indonesia yang mahir dialek Sumbawa dilantik pada perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah membenarkan Yong diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebarang kaedah penyerahan bahan bukti hanya akan diputuskan semasa perbicaraan.

- Bernama
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post