NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Islam iktiraf Vaksinasi COVID-19 Sebagai Kaedah Selamatkan Nyawa - Mufti Kedah

ALOR SETAR: Umat Islam disarankan menerima vaksin COVID-19 diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan ia kaedah lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa dan bukan bersumberkan gelatin haiwan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata pihaknya juga difahamkan kandungan vaksin berkenaan bukan daripada sumber gelatin haiwan, sebaliknya ia daripada unsur lain.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas bersama mufti baru-baru ini, kita mendengar penjelasan daripada wakil Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kandungan vaksin COVID-19. Mereka menerangkan vaksin yang akan kita terima bukan daripada sumber gelatin binatang.

"Jadi pegawai KKM menyatakan keyakinannya vaksin COVID-19 adalah halal daripada unsur lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di Menara Zakat di sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Syaikh Mahmood Naim yang juga Pengerusi LZNK.

Syeikh Fadzil berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai golongan tertentu yang ragu-ragu mengenai penggunaan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, Islam sangat menitikberatkan penjagaan diri dan nyawa dengan setakat ini, kaedah penggunaan vaksin lebih berkesan.

Justeru, katanya, umat Islam tidak dapat mengelak untuk menggunakan vaksin COVID-19 demi menjaga diri dan nyawa.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit COVID-19 pada 2021.

Katanya sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo