NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FELDA tidak berhasrat kekalkan status penyenaraian FGV


KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV Holdings Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia di atas tawaran pengambilalihan mandatori.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Felda berkata sekiranya Felda menerima penerimaan yang sah, yang menyebabkan Felda dan sekutunya memegang agregat 90 peratus atau lebih saham FGV, pengumuman segera akan dibuat oleh FGV.
Sejurus pengumuman tersebut, Bursa Securities akan menggantung dagangan dalam saham FGV sebaik sahaja tamat tempoh lima hari pasaran dari tarikh tutup.
Selepas itu, Felda akan mengemukakan permintaan kepada FGV untuk mengambil prosedur yang diperlukan bagi menarik balik status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi mengikut Bab 16 Keperluan Penyenaraian.
"Bursa Securities melalui budi bicaranya boleh mengenakan syarat tambahan untuk penarikan balik status penyenaraian FGV daripada Senarai Rasmi.
''Jika nyahsenarai FGV daripada Senarai Rasmi berjaya, saham FGV tidak akan disebut harga dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Securities,'' katanya.
Maybank IB ketika bercakap mengenai sumber kewangan berkata Felda telah mengesahkan bahawa ia mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memenuhi penerimaan penuh tawaran itu.
Felda juga telah mengesahkan bahawa tawaran itu tidak akan gagal disebabkan keupayaan kewangan yang tidak mencukupi dan setiap pemegang yang ingin menerima tawaran itu akan dibayar sepenuhnya secara tunai.
Pada 8 Dis, 2020 Felda memeterai dua perjanjian pembelian saham bersyarat (CSPA) dengan vendor Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) serta Urusharta Jamaah Sdn Bhd bagi membeli sejumlah kepentingan ekuiti sebanyak 13.88 peratus mewakili 506.19 juta saham untuk pertimbangan tunai berjumlah RM658.04 juta atau RM1.30 sesaham FGV.
Selepas selesai pengambilalihan, pegangan saham kolektif Felda dan individu yang bertindak bersama dengannya dalam FGV akan meningkat kepada 50.49 peratus daripada 36.61 peratus sebelum ini.
Sehubungan itu, menurut Seksyen 218(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Perenggan 4.01(a) Kaedah-Kaedah Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib, Felda wajib melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk memperoleh semua baki saham FGV.
-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo