Responsive Ad Slot

Ambil air di Pulau Pinang tapi air mengalir dari Kedah




Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kerajaan Pulau Pinang tetap perlu membayar caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke negeri itu, kerana sumber berkenaan perlu sentiasa dipulihara.

Beliau berkata kawasan tadahan air di negeri ini perlu dijaga sebaik mungkin bagi memastikan sumber air sentiasa mencukupi bagi bekalan bukan sahaja untuk rakyat Kedah, malah termasuk Perlis dan Pulau Pinang.

“Kita kena kutip (bayaran) sebab nak mengekalkan sumber air, sumber air datang daripada kawasan tadahan. Kita nak kekalkan kawasan tadahan itu sebagai kawasan tadahan yang mampu membekalkan air yang mencukupi, jadi kena bayarlah,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan komputer riba dan pakej pelan data kepada 50 pelajar dari kategori B40 anak Kedah Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) pada 12 Ogos 2017, yang mengemukakan lapan sebab Pulau Pinang tidak perlu membayar caj air mentah, yang kembali ditularkan di media sosial sejak semalam.

Antara sebab yang dikemukakan ialah Skim Air Sungai Muda dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 9 Nov 1973, tidak menyebut mengenai caj air mentah.

Muhammad Sanusi berkata walaupun tiada dokumen perjanjian ‘hitam putih’ mengenai caj itu pada 1973, Pulau Pinang tetap perlu membayar caj air mentah itu selepas tertubuhnya Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) susulan kewujudan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.


Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan mahkamah, beliau berkata belum sampai ke tahap itu, namun pihaknya akan berusaha menuntut bayaran caj air mentah itu melalui rundingan terlebih dahulu. Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo