NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah Sistem Bank Malaysia Selamat?

KUALA LUMPUR: Terlalu banyak kelemahan dalam sesetengah sistem perbankan di negara ini membolehkan penggodam memintasnya sekali gus merisikokan wang pendeposit hilang.
Bekas penggodam, Aman Shah Ahmad yang juga pakar teknologi maklumat (IT) mendakwa, sistem yang digunakan oleh beberapa bank di Malaysia bersifat copy and paste daripada sistem terdahulu.

Dakwa beliau, tindakan sesetengah bank menggunakan perisian (software) serta program bersifat terbuka (open source) mengakibatkan wujud kelompongan yang mendedahkannya kepada ancaman penggodam.

Justeru, katanya kepada Mingguan Malaysia, kelompongan inilah membolehkan penggodam memintas sistem keselamatan sesetengah bank dengan mudah.

“Jika kita cakap pasal struktur keselamatan bank, sebenarnya banyak lompong. Bila orang macam saya ini godam, baru orang sedar. Sistem sekarang ini juga macam itu, sebenarnya ‘cucu’ sahaja kepada sistem yang terdahulu.

“Yang ada sekarang ini adalah ‘cucu’ kepada sistem dahulu, sebab itu contohnya Windows ada versi 2.0, 3.0 dan 2000 misalnya. Semua sama sahaja. Saya beritahu, sekarang lagi senang nak godam. Kamu bagi saya laptop sekarang, besok saya boleh pindahkan wang. Nak buat atau tak sahaja,” katanya ketika ditemui di sini Rabu lalu.

Aman Shah, 54, yang pada 1990 didakwa atas kesalahan pecah amanah membabitkan puluhan juta ringgit sewaktu bertugas di sebuah bank di Kuala Lumpur berkata, berdasarkan pemerhatian, masih terdapat 20 peratus kelemahan dalam sistem keselamatan bank sekarang.

Beliau diminta mengulas mengenai wujudnya aduan daripada orang ramai mengenai wang mereka hilang daripada akaun ban walaupun tidak melakukan transaksi pengeluaran.

Kata Aman Shah, kesilapan paling ketara yang dilihat adalah tindakan sesetengah bank yang ingin menjimatkan kos dengan membangunkan sistem keselamatan yang kurang optima.

“Bank-bank pakai apa sekarang? Firewall? Saya perasan sesetengah bank di Malaysia sekarang, kesilapan paling ketara, banyak program dalam itu mereka nak jimat kos. Mereka guna open source sahaja, bermakna ia kurang selamat,” katanya.

Menjelaskan lagi beliau berkata, urusan membangun keselamatan sistem perbankan harus dilakukan oleh pakar IT yang mempunyai merit, dan bukan dipilih dalam kalangan kroni yang tidak layak.

Hal ini, katanya supaya meningkatkan keyakinan pendeposit agar tidak membuat pengeluaran wang besar-besaran, yang boleh melumpuhkan ekonomi negara.

“Di Malaysia ini, maaf cakap, ia bukan tentang merit. Orang yang membangunkan sistem keselamatan perbankan pun, ada kait dengan pihak atasan. Jadi kamu tiada merit untuk bangunkan sistem itu. Benda ini sampai sekarang berlaku.

“Kalau kamu dedahkan maklumat bahawa sistem itu tak selamat, saya rasa semua orang akan keluarkan duit dari bank masing-masing. Depositor akan lari dan kesannya, musnah ekonomi,” tambahnya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo