Responsive Ad Slot

3 kali tukar MB, bukti kegagalan pimpinan politik - Sultan Nazrin



KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mahu supaya kemelut kepimpinan kerajaan negeri membabitkan jawatan Menteri Besar yang mula tercetus sejak Jumaat lalu berakhir.

Baginda bertitah, pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah satu cerminan kegagalan kepimpinan ahli-ahli politik untuk mendapat jaminan sokongan padu dan ia bukan sejarah yang perlu dibanggakan.

"Sejak berlangsungnya PRU ke-14, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan, perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal DUN sebelum ini.

"Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

"Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat," titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, di sini.

Baginda bertitah, rakyat meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.

Titahnya, rakyat pelbagai kaum dalam semua kawasan diwakili Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mahukan sebuah negeri aman, dengan pemerintahan melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, supaya mereka dapat hidup dalam semangat saling menghormati serta harmoni.

"Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.

"Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud," titahnya.

Titah baginda, sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

"Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.

"Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan," titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, pelbagai pihak daripada kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan serta pemimpin PN dan PH mengadap baginda bagi menyampaikan cadangan, pendapat dan saranan masing-masing.

"Kesemua mereka mempunyai niat dan tujuan yang murni mahu membantu supaya kemelut yang berlaku dapat ditangani. Kepada kesemua mereka beta menzahirkan penghargaan tinggi," titahnya.

Baginda juga menghargai peranan petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan, untuk melaksanakan tugas melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat.

"Demikian juga kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur," titahnya.

Senarai Menteri Besar Perak:

1. Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz: 1 Februari 1948 - 1 Ogos 1957
2. Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi: 1 Ogos 1957 - 16 April 1960
3. Datuk Seri Shaari Shafie: 16 April 1960 - 7 Mei 1964.
4. Datuk Seri Ahmad Said: 7 Mei 1964 - 18 Mac 1970
5. Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa: 18 Mac 1970 - 4 September 1974
6. Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi: 4 September 1974 - 1 Oktober 1977
7. Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh: 1 Oktober 1977 - 1 Mac 1983
8. Tan Sri Ramli Ngah Talib: 1 Mac 1983 - 3 Disember 1999
9. Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali: 3 Disember 1999 sehingga 10 Mac 2008
10. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin: 17 Mac 2008 - 12 Mei 2009
11. Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir: 12 Mei 2009 - 12 Mei 2018
12. Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu: 12 Mei 2018 - 10 Mac 2020
13. Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu: 13 Mac 2020 - 5 Disember 2020
15. Datuk Saarani Mohamad: 10 Disember 2020

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/763569/3-kali-tukar-mb-bukti-kegagalan-pimpinan-politik-sultan-nazrin

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo