NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RM800,000 sudah dibelanjakan bantu nelayan


TUMPAT – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah membelanjakan dana sebanyak RM800,000 bagi membantu golongan nelayan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia merupakan sebahagian daripada dana sebanyak RM1.5 juta yang diperuntukkan kepada kementerian itu.

Menurutnya, peruntukkan itu meliputi sumbangan kebajikan dan bantuan bencana kepada golongan nelayan yang ditimpa musibah.

“Ini adalah salah satu bentuk bantuan daripada kerajaan kepada golongan nelayan yang turut memainkan peranan dalam memastikan bekalan bahan mentah terutama hasil laut sentiasa cukup.

“Tanpa sumbangan golongan ini, berkemungkinan besar kita tidak dapat menikmati keenakan rasa makanan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika turun padang menyampaikan bantuan bencana kepada seorang nelayan Mohd. Nawawi Che Soh di Kampung Besut di sini hari ini.

Mohd. Nawawi ditimpa musibah selepas dia terpaksa tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya terbakar pada 5 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga merupakan Ahli Parlimen Tumpat berkata, kerajaan sentiasa komited dalam membela dan membantu golongan nelayan.

Beliau berkata, setakat ini, hampir RM100,000 bantuan telah dihulurkan kepada golongan nelayan di Kelantan yang berdepan bencana. – K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2020/11/21/rm800000-sudah-dibelanjakan-bantu-nelayan/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo